Penduduk terpilih di zon merah S'gor akan disaring Covid-19
Penduduk di lima daerah di Selangor yang dikategorikan sebagai zon merah selepas merekodkan peningkatan melebihi 40 kes positif akan menjalani ujian Covid-19 dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata ujian tersebut akan dibuat kepada mereka yang terpilih sahaja.
Menurut Dr Dzulkeflly yang mengetuai pasukan petugas khas bagi menangani wabak berkenaan, mereka dipilih berdasarkan lokasi, umur dan status kesihatan mereka.
“Kami ingin menguji seberapa ramai yang mungkin tetapi dana kami terhad, jadi kami menyasarkan kawasan tertentu berdasarkan pengiraan kami.
“Kami akan memilih individu yang dikenal pasti terdedah dan berisiko,” kata Dzulkefly seperti dipetik The Malaysian Insight.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata inisiatif tersebut dibuat atas saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengenal pasti pembawa virus itu yang mungkin tidak bergejala tetapi mungkin menjangkiti orang lain.
Bagaimanapun Dzulkefly tidak mendedahkan lokasi yang akan terlibat.
Sehingga 9 April Selangor mempunyai 1,118 kes positif Covid-19 dengan enam kematian.
Lima dari 10 zon merah utama di negara ini terdapat di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Klang, Gombak dan Sepang.
Menteri Besar, Amirudin Shari pada 8 April dilaporkan berkata kerajaan Selangor akan melakukan ujian saringan koronavirus (Covid-19) ke atas penduduk negeri ini melibatkan beberapa lokaliti yang telah dikenal pasti bermula Jumaat.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan sekitar 1,000 ke 1,200 penduduk di negeri akan melakukan ujian saringan terbabit.
Sementara itu, Dzulkefly berkata kerajaan perlu berhati-hati dalam membuat keputusan sama ada menyambung perintah kawalan pergerakan (PKP) yang akan tamat 14 April ini atau tidak.
Menurut Dzulkefly kerajaan juga perlu mempertimbangkan melonggarkan PKP secara perlahan-lahan sekiranya perintah kawalan itu perlu dilanjutkan untuk mengelakkan ekonomi terjejas.
“Mungkin akan ada kelonggaran dalam PKP tetapi dengan langkah yang sesuai. Kita tidak boleh terus melakukan PKP selama berbulan-bulan kerana kesannya terhadap ekonomi.
“Kita melihat hasil positif PKP. Bagaimanapun kita sepatutnya ada perdebatan tentang langkah sesuai untuk terus ke depan.
“Ia tentang bagaimana untuk menyelesaikannya tetapi peraturan penjarakan sosial perlu dibuat untuk lokasi seperti bank dan pusat membeli-belah,” katanya.
Dzulkefly berkata demikian ekoran ancaman sektor perniagaan untuk menutup operasi besar-besaran dan kumpulan masyarakat sivil melaporkan semakin ramai rakyat berpendapatan rendah akan kelaparan apabila PKP yang dikuatkuasa selama tiga minggu menghentikan sektor perniagaan dan perdagangan.
Beliau bagaimanapun berkata PKP tidak sepatutnya dihentikan kerana ia masih perlu dilaksanakan untuk mengurangkan penyebaran jangkitan.
PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Sehingga hari ini bilangan mereka yang dijangkiti berjumlah 4,228 orang dengan 67 kematian.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai