Skip to main
Logo Malaysiakini

Sungai Meru tercemar akibat lateks getah dari kilang - Exco

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pencemaran di Sungai Meru di Jelapang, Perak dikenal pasti berpunca daripada lateks getah dari kilang sarung tangan yang terletak berhampiran sungai berkenaan.

Anggota exco Perak, Mohd Akmal Kamaruddin, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, berkata pekerja dari kilang sarung tangan itu terlupa mematikan injap selepas membersihkan tangki.

"Tangki itu dibasuh dan kedua-dua pekerja lupa untuk mematikan injap.

"Apabila bahan mentah dipindahkan ke dalam tangki dari sebuah kapal tangki, ia terus keluar," kata Mohd Akmal yang dipetik oleh The Star.

Video rakaman pencemaran tu turut dikongsi oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man di laman Facebook beliau pagi tadi.

Mohd Akmal berkata insiden pencemaran itu dipercayai berlaku pada petang Khamis dan menjejaskan sepanjang kira-kira 1 kilometer sungai berkenaan.

"Kilang itu juga lewat untuk memaklumkan kerajaan negeri, hanya beritahu kami pada hari Khamis kira-kira pukul 11 malam.

"Jabatan Alam Sekitar telah mengambil sampel dari sungai untuk dianalisis.

"Kami juga mengarahkan kilang itu untuk membersihkan sungai tersebut dengan segera," katanya.

Difahamkan kilang itu mempunyai kebenaran untuk beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan.

Tuan Ibrahim dijangka akan menjelaskan perkara itu dalam masa terdekat.