Skip to main
Logo Malaysiakini

Juruteknik jumpa 7 bom tangan di Melaka

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang juruteknik menemui tujuh bom tangan ketika membersihkan tanah miliknya di Jalan Sidang Baba Sungai Udang di Melaka, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 49 tahun itu menemui bom berkenaan di dalam sebuah kotak besi dalam keadaan tertutup di tanah berkenaan kira-kira pukul 6.30 petang.

"Semasa pemilik tanah sedang membersihkan kawasan tanah itu, beliau menjumpai satu kotak besi dalam keadaan tertutup dengan kemas sebelum bertindak membuka kotak itu untuk kenal pasti objek di dalamnya.

"Lelaki berkenaan kemudian mendapati terdapat satu plastik di dalam kotak berkenaan yang mengandungi tujuh objek menyerupai bom tangan," katanya dalam kenyataan di Melaka, hari ini.

Beliau berkata pemilik tanah berkenaan kemudian menuju ke rumah jiran berhampiran untuk mengesahkan objek yang dijumpainya itu sebelum menghubungi Balai Polis Sungai Udang kira-kira 7.20 petang.

Sejurus laporan diterima, sepasukan polis dari Unit Bom Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka telah membuat pemeriksaan di lokasi kejadian dan telah menjumpai tujuh biji bom tangan yang satu daripadanya didapati tidak selamat manakala enam lagi masih aktif tetapi dalam keadaan selamat.

Afzanizar berkata, justeru itu anggota unit berkenaan bertindak memusnahkan satu bom tangan yang didapati tidak selamat dan sampel senjata api itu dirujuk ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

- Bernama