Skip to main
Logo Malaysiakini

Tangguh sekolah: PIBGN sambut baik pengumuman PM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengenai pembukaan sekolah mungkin akan ditangguhkan.

Presiden PIBGN, Mohamad Ali Hassan (gambar judul, atas) ketika dihubungi Malaysiakini memberitahu pengumuman penangguhan sesi persekolahan didasari oleh beberapa perkara yang pastinya belum menyakinkan keselamatan warga pendidik termasuklah ibu bapa, kakitangan sekolah dan murid-murid.

“Dengan statistik mereka yang terlibat dalam Covid-19 yang masih meningkat dan sikap segelintir masyarakat yang belum memberi kerjasama sepenuhnya dalam pelaksanaan PKP masih membimbangkan warga pendidik untuk ke sekolah.

“Selain itu, kepulangan mereka yang dari luar negara dan juga peningkatan kawasan zon merah menimbulkan keresahan dalam kalangan ibu bapa,” katanya.

Semalam, perdana menteri memaklumkan pelanjutan PKP yang akan diteruskan sehingga 28 April ini dan kemungkinan sekolah tidak akan dibuka lebih awal sehinggakan keadaan telah kembali pulih.

Kata perdana menteri, beliau sudah meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan pembelajaran di rumah sepanjang PKP dan seterusnya sehingga sekolah dibuka semula.

Mohamad Ali turut mencadangkan pihak KPM menubuhkan kumpulan pakar e-learning untuk pelaksanaan lebih efisien.

“Kementerian juga boleh mengedarkan jadual pembelajaran yang sesuai sepanjang tempoh PKP kepada pihak sekolah dan ibu bapa sebagai panduan,” jelasnya.

Sementara itu, Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) Azizee Hassan (gambar, atas) turut mengalu-alukan pengumuman penangguhan sesi persekolahan.

Beliau juga mencadangkan pembelajaran atas talian melalui aplikasi Google Meet, Microsoft Team, YouTube dan sebagainya.

“Bagi ibu bapa yang mempunyai masalah akses Internet disarankan menggunakan TV Pendidikan Di Saluran TV OKEY, Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mengikuti pembelajaran,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Azizee juga mencadangkan syarikat telekomunikasi untuk menaja atau menyumbang alat peranti pintar kepada murid-murid yang memerlukan terutamanya dari kelompok miskin.

“Kerajaan juga perlu meningkatkan kualiti akses internet di kawasan-kawasan yang kurang capaiannya bagi memudahkan urusan pembelajaran berjalan dengan lancar,” jelasnya.