Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pergerakan di flat PKNS Kampung Baru dikawal'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kawalan di Rumah Pangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Baru dipertingkatkan ekoran peningkatan kes Covid-19 di kawasan perumahan di ibu negara itu.

Tinjauan Malaysiakini petang ini di kawasan perumahan itu mendapati pihak polis turut di tempatkan untuk mengawal pergerakan keluar masuk di petempatan itu.

Malaysiakini difahamkan 19 kes positif Covid dilapor di kawasan perumahan berkenaan.

Bagaimanapun kawasan perumahan berkenaan masih belum dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Tinjauan juga mendapati orang luar tidak dibenarkan untuk masuk ke kawasan perumahan itu, begitu juga pergerakan keluar masuk warga flat itu juga turut diperketatkan.

Mereka yang ingin keluar atas urusan penting perlu menulis nama dan memberi maklumat kepada polis yang bertugas bagi tujuan pemantauan.

Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Ab Hamid (gambar, bawah) yang ditemui ketika tinjauan, memberitahu Malaysiakini beliau sedar keadaan kawalan lebih ketat sejak beberapa hari lalu di kawasan yang turut menempatkan kediamannya itu.

Jelasnya, bagaimanapun sehingga kini semuanya berjalan lancar dan penghuni memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

"Kawalan diperketatkan yang mana penghuni tidak boleh keluar sesuka hati seperti di kawasan lain, kami dibenarkan keluar atas urusan penting saja.

"Begitu juga orang luar tidak dibenarkan untuk masuk ke kawasan ini.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas dengan baik termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjalankan pengambilan sampel khusus," kata beliau hari ini.

Azizi

Azizi berkata pihak polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memainkan peranan dengan baik demi keselamatan penghuni.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohd Fahmi Visvunathan Abdullah memaklumkan kawalan sebegitu dibuat memandangkan KKM telah membuat saringan.

"KKM buat saringan, jadi kita tak bagi mereka bercampur.

"Lagipun ikut PKP, memang pergerakan dihadkan kalau tiada sebab di semua tempat bukan di flat PKNS saja," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 26 Mac lalu, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dua kawasan petempatan di Kluang, Johor dikenakan PKPD ekoran terdapat kes positif Covid-19 yang tinggi.

Kawasan itu ialah Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam.

Apabila PKPD dilaksanakan, peraturan ketat akan dikuatkuasakan seperti tiada pergerakan keluar masuk dari kawasan terbabit, penduduk tempatan atau pelawat tidak dibenarkan datang, semua aktiviti perniagaan dihentikan dan penduduk dibekalkan dengan makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kemudian, pada 31 Mac, PKPD dilaksanakan di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah yang berkuat kuasa sehingga 13 April ini.

Seterusnya, flat kediaman lapan tingkat yang turut menempatkan premis perniagaan di bahagian bawah, iaitu Malayan Mansion dan Selangor Mansion turut diisytihar sebagai kawasan PKPD pada 7 April lalu.