Skip to main
Logo Malaysiakini

Demi negara, ibu anak dua galas tugas Rela

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang ibu anak dua berkongsi pengalamannya sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas di barisan hadapan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Noraini Mohd Nor, 55 (gambar judul, atas) yang mula melapor diri bertugas sejak 18 Mac lalu, berkata dia tidak dapat meluangkan banyak waktu untuk suami dan dua cahaya mata mereka.

"Sebenarnya, saya tidak mengadu bahawa tidak mempunyai masa untuk suami dan anak-anak saya. Tapi itu lah hakikatnya. 

"Setiap orang ada tanggungjawab masing-masing. Ini (sebagai petugas barisan hadapan) tanggungjawab saya untuk negara ini.

"Harap doa negara kita cepat bebas daripada wabak Covid-19" katanya kepada Malaysiakini ketika ditemuramah di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, hari ini.

Noraini dari Lembah Pantai kini bertugas sebagai anggota barisan hadapan di Jalan Masjid India selepas kawasan itu ditutup sepenuhnya akibat penularan wabak Covid-19.

Anggota tentera kelihatan berkawal di sebelah bangunan Selangor Mansion.

Katanya, suaminya seorang Orang Kurang Upaya (OKU) dan anaknya pula baru mula bekerja.

"Anak saya baru mula kerja. Pendapatan saya dari sini (sebagai anggota Rela) dapat membantu keluarga saya.

"Tapi, sedih juga tidak ada masa untuk keluarga. Saya terpaksa bangun awal pagi-pagi, sediakan makanan untuk suami dan anak-anak sebelum datang sini," katanya.

Ibu tunggal anak OKU bangga seragam Rela

Pada 7 April lalu, kerajaan mengarahkan bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion yang terletak di Jalan Masjid India diletakkan di bawah PKPD, membabitkan 6,000 penduduk.

Sebelum itu pada 30 Mac, Menara Plaza City One di Jalan Munsyi Abdullah dikenakan PKPD.

Penduduk di tiga-tiga bangunan berkenaan tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan dan dikawal rapi oleh anggota Tentera, Polis dan Rela.

Berkongsi pandangan dengan Noraini, rakan setugasnya K Rajeswary (gambar, bawah) memberitahu tugasan mereka di barisan hadapan amat mencabar.

Menurut ibu tunggal yang berusia 34 tahun dari Sentul itu, dia terpaksa membawa makanan yang diberikan untuk barisan hadapan kepada anak-anaknya kerana tidak sempat memasak di rumah.

"Saya mempunyai tiga anak. Dua ialah OKU. Tiada dewasa di rumah untuk menjaga mereka.

"Setiap pagi, 7.30 pagi saya kena berada di sini. Saya juga menumpang rakan saya ke tempat kerja. Tidak ada masa untuk memasak atau sebagainya.

"Balik ke rumah dah malam. Kedai semua dah tutup.Terpaksa membawa makanan yang diberikan di barisan hadapan kepada anak-anaknya," katanya.

Katanya, dia bertugas sepenuh masa sebagai anggota Rela dan berasa bangga setiap kali memakai seragamnya.

"Walaupun, saya tidak ada masa untuk keluarga sama seperti Kak Noraini, kami tetap bangga sebagai anggota Rela dan di barisan hadapan," jelasnya.

Berkongsi pengalaman di barisan hadapan, Rajeswary berkata dia berasa kasihan dengan rakan petugas yang dilihatnya rimas apabila perlu memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) bagi menjamin keselamatan.

"Saya pernah pakai PPE untuk membantu barisan hadapan. Sangat panas. Berdiri di bawah aircond (penyaman udara) pun masih boleh rasa panas. Apatah lagi di kawasan terbuka seperti Masjid India.

"Malah, ada yang pernah sesak nafas kerana panas. Saya beritahu semua ini bukan untuk mencari simpati.

"Tetapi, rakyat mesti faham kesukaran sebagai barisan hadapan dan harap bekerja sama dengan petugas barisan hadapan," katanya lagi.