Skip to main
Logo Malaysiakini

Sedih nak balik tanpa konvo, majlis perpisahan - siswi M'sia di AS

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketika jumlah kes pesakit positif Covid-19 menjadikan Michigan negeri ketiga tertinggi bilangan pesakit di Amerika Syarikat (AS), beberapa mahasiswa tahun akhir dari Malaysia ini memilih untuk terus tinggal di negeri itu bagi melengkapkan tempoh pengajian mereka.

Nur Erisa Aiman Ahmad Rhobinudin (gambar judul, atas) penuntut tahun akhir Sarjana Muda Genomics dan Genetik Molekular di Michigan State University berkata dia hanya akan pulang pada awal Mei 2020 selepas berakhirnya semester.

“Saya dibawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan tiket untuk pulang sudah ditetapkan sebelum arahan kekal di rumah dikeluarkan oleh Gabenor Michigan, Gretchen Whitmer.

“Jadi, saya sanggup tunggu hingga habis semester ini,” katanya ketika dihubungi kepada Malaysiakini.

Menurut Danial Zulkifly, siswa tahun akhir Sarjana Muda Fizik di University of Michigan menceritakan arahan duduk di rumah di Michigan berbeza jika dibandingkan dengan di Malaysia.

Dibenarkan bersenam

“Di sini, aktiviti luar dibolehkan. Contohnya macam berjalan-jalan dan jogging.

“Tetapi persamaannya restoran dan kedai makan di sini beroperasi hanya melalui perkhidmatan penghantaran dan keluar untuk membeli barang keperluan asas juga sama,” jelas Danial.

Danial Zulkifly, dua dari kanan bersama teman sekuliah.

Erisa turut berkata penduduk di Michigan masih meneruskan rutin yang minima berbanding kehidupan mereka sebelumnya.

“Baru-baru ini, saya ada lihat sekumpulan penduduk main bola keranjang di gelanggang di apartmen tempat saya tinggal.

“Saya agak risau dengan keadaan di sini. Tiada kawalan polis dan tentera yang ketat – mereka cuma meronda di kawasan perumahan untuk pastikan keselamatan penduduk,” kata Erisa.

Sedih bukan sebab panik

Kata Danial, University of Michigan telah menunda tarikh upacara konvokesyen mereka ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

“Sepatutnya upacara konvokesyen diadakan pada 2 Mei ini, tapi telah ditangguh.

“Sebab itu, walaupun ditangguh, peratusan untuk kami hadir ke upacara tersebut sangat tipis terutamanya apabila visa kami akan tamat tempoh,” luahnya.

Dewan makan University Of Michigan lengang.

Erisa pula berkata situasi terkini di AS menyebabkannya menjadi sedih dan kerap menangis.

“Bukan sebab berjauhan dengan keluarga ataupun panik, tapi sedih sebab banyak memori yang menyedihkan berlaku dalam tempoh tahun terakhir di sini.

“Tiada upacara konvokesyen, tiada majlis perpisahan. Ramai kawan-kawan dan professor yang mungkin saya takkan dapat jumpa lagi,” jelas Erisa.

Tunggu arahan Wisma Putra 

Menurut Presiden National Assembly of Malaysian Students in America (Namsa), Ahmad Mohsein Azman, Namsa hanya menunggu perancangan Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di AS untuk membawa pulang pelajar ke Malaysia.

Ahmad Mohsein (gambar, bawah) yang juga merupakan pelajar tahun akhir Sarjana Muda Ekonomi di University of Michigan turut menjelaskan buat masa ini tiada aduan yang membimbangkan diterima oleh Namsa.

“Risiko untuk dijangkiti lebih tinggi sekiranya pelajar balik ke Malaysia, lebih baik untuk kita kekal di rumah dan amalkan kebersihan yang bagus.

“Tetapi, kami menyarankan pelajar yang menghadapi masalah – kewangan terutamanya – untuk kekal di AS, (yang nak) balik ke Malaysia dan maklumkan kepada Namsa atau kedutaan,” kata Mohsein.

Mohsein turut menjelaskan buat masa ini Namsa masih mengumpul data jumlah pelajar Malaysia yang masih berada di AS.

Setakat ini, AS mencatatkan jumlah kes positif Covid-19 tertinggi dengan seramai 533,378 kes positif dan seramai 23,993 daripada mereka dari Michigan.

Jumlah rekod kematian di Michigan juga adalah yang ketiga tertinggi iaitu sebanyak 1,392 kes kematian.