Skip to main
Logo Malaysiakini

Negara-negara Afrika dakwa warga mereka didiskriminasi di China

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Duta negara-negara Afrika di China menulis kepada menteri luar negara itu, mendakwa terdapat diskriminasi terhadap warga Afrika semasa tempoh penyebaran Covid-19.

Beberapa negara Afrika secara berasingan merakam kebimbangan bahawa orang Afrika tidak dilayan dengan baik dan diganggu, terutamanya di bahagian selatan bandar Guangzhou, lapor Reuters.

Bagaimanapun, China menafikan dakwaan itu.

Setelah mengawal Covid-19 yang berpusat di bandar Wuhan, China kini memberi perhatian terhadap kes-kes import dan meningkatkan pengawasan terhadap warga asing yang datang ke negara itu dan mengetatkan kawalan sempadan.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, orang-orang Afrika di Guangzhou mendakwa mereka dihalau daripada tempat tinggal, diuji beberapa kali tanpa diberi keputusan serta diasing dan diskriminasi di tempat awam.

Aduan sedemikian telah dibuat di media tempatan dan di media sosial.

Dalam satu nota yang dikeluarkan di Johannesburg pada hari Ahad, seorang duta berkata "stigma dan diskriminasi" sedemikian menimbulkan kesan palsu bahawa virus itu disebarkan oleh orang Afrika.

"Kumpulan duta-duta Afrika di Beijing segera menuntut pemberhentian ujian secara paksa, kuarantin dan tindakan tidak berperikemanusiaan lain yang ditujukan terhadap orang Afrika," katanya.