Skip to main
Logo Malaysiakini

KWSP lanjut tarikh bayaran caruman wajib bagi gaji bulan Mac

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melanjutkan tarikh membuat bayaran caruman wajib untuk gaji bulan Mac (caruman April 2020) dari 15 April kepada 24 April 2020.

KWSP berkata kelonggaran ini diberikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengambil kira kesan terhadap perniagaan di Malaysia.

"Majikan boleh membuat bayaran caruman tersebut melalui laman sesawang KWSP iaitu eCaruman dalam portal i-Akaun (Majikan), perbankan Internet ataupun di kaunter bank yang dilantik," kata Jabatan Hal Ehwal Korporat agensi tersebut,” kata KWSP.

Pelanjutan tarikh bayaran caruman wajib adalah sebahagian daripada pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin ekoran penularan wabak Covid-19 yang mengakibatkan negara dikenakan PKP.

PKP mula dilaksanakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac, tetapi dilanjutkan sehingga 14 April.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP akan dilanjutkan selama dua minggu lagi, bermula 15 April ini hingga 28 April.