Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin PKR bidas k'jaan Perak tamatkan khidmat MPKK ketika krisis Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Penerangan PKR Perak Muhamad Arafat Varisai Mahamad membidas keputusan kerajaan negeri Perak yang menamatkan perkhidmatan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh negeri itu ketika penularan wabak covid-19.

Muhamad Arafat menyifatkan ia sebagai tindakan yang tidak mengutamakan kepentingan rakyat yang terjejas ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurutnya, ia juga tindakan bersifat politik dan kurang bijak ketika.

"Tindakan kerajaan PN (Perikatan Nasional) mengeluarkan notis penamatan perkhidmatan MPKK di seluruh negeri Perak ketika penularan wabak covid-19 adalah tindakan yang tidak mengutamakan kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Muhamad Arafat, sejak PKP dilaksanakan, kebanyakan bantuan rakyat yang disalurkan daripada pejabat daerah dilaksanakan oleh MPKK seluruh negeri Perak.

"Kesemua MPKK melaksanakan tugas mereka, menjadi petugas barisan hadapan apabila negara sedang menghadapi penularan wabak Covid-19 dengan memberikan kerjasama yang baik bersama pihak pejabat daerah untuk menghantar barangan bantuan rakyat dari rumah ke rumah kepada keluarga yang memerlukan," katanya.

Pada 11 April, kerajaan negeri Perak dalam satu notis memberitahu tentang penamatan perkhidmatan semua pengerusi, setiausaha, biro dan ahli jawatankuasa MPKK termasuk Kampung Baru dan Kampung Baru India berkuat kuasa 30 April.

Surat tersebut yang dilihat Malaysiakini mendapati penghulu mukim diarahkan untuk menjalankan tugas sebagai ketua kampung sehingga ketua-ketua baru selesai dilantik.

"Keputusan dengan meminta Penghulu Mukim melaksanakan tugas sebagai ketua kampung sementara ketua kampung yang baru dilantik adalah tindakan yang kurang bijak.

"Sebagai contoh di Daerah Kinta sahaja mempunyai 70 MPKK tradisi yang mana ketiadaan MPKK akan menyukarkan penghulu dan pegawai daerah dalam melaksanakan bantuan rakyat.

"Ini akan melewatkan dalam penyelesaikan masalah rakyat yang berbangkit ketika negara dan negeri sedang bergelut dengan penularan Covid-19 dan PKP," kata Adun Hulu Kinta itu.

Beliau juga meramalkan bahawa proses pelantikan pengerusi baru berkemungkinan akan menjadi lewat kerana akan berlaku perebutan pembahagian kawasan MPKK dalam komponen PN.