Skip to main
Logo Malaysiakini

Tahun baru Vaisakhi, Chithirai, Vishu: Rakyat M'sia digesa sambut di rumah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Rakyat Malaysia yang menyambut perayaan tahun baru Vaisakhi, Chithirai Puthandu dan Vishu (Tahun baru komuniti Malayali) hari ini dan esok digesa untuk merayakannya di rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS) Mohan Shan berkata tahun ini adalah peluang terbaik bagi etnik Tamil beragama Hindu dan etnik Malayali untuk menyambut tahun baru bersama ahli keluarganya.

"Kebiasaanya, kita tidak mendapat peluang untuk meraihkan Chithirai Puthandu dan Vishu bersama ahli keluarganya kerana ia bukan cuti umum dan jatuh pada hari kerja. Jadi, tahun ini adalah peluang terbaik untuk kita menyambut bersama ahli keluarga.

"Walaupun, kuil membuat sembahyang penganut tidak dibenarkan turut serta. Jadi, buat sembahyang di rumah. Meluangkan masa bersama keluarga," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mohan Shan 

Katanya, tahun baru Chithirai Puthandu jatuh pada 10.04 malam ini, namun ia akan disambut pada 14 April selepas matahari terbit.

"Esok lapan pagi hingga 9.30 pagi adalah waktu terbaik membuat sembahyang. Buat masakan bagus. Sambut bersama dengan yang tersayang demi kebaikan bersama dan negara," katanya.

Chithirai Puthandu merupakan hari pertama kalendar solar Hindu. Tahun ini akan dikenali sebagai Tahun Sarvari.

Vishu pula disambut pada hari pertama dalam zodiak tahun baharu, hari pertama pada bulan Medam, menurut panjangam (almanak) rasmi Sri Guruvayoorappan Devaswom Kerala; Kerala Mathrubumi Panjangam; Kerala Valya Panjangam dan Kerala Manorama Panjangam.

‘Doa bebas dari Covid-19’

Sementara itu, Presiden Majlis Gurdwara Malaysia Sardar Jagir Singh meminta masyarakat Sikh di Malaysia untuk membuat doa dari rumah demi kesejahteraan dunia pada Tahun Baru Vaisakhi ini.

"Mengikut kalendar Sikh Nanakshahi tahun baru lahir pada 14 April. Nasihat saya kepada mereka yang menyambut, raikan dari rumah kerana larangan PKP,” katanya.

Sardar Jagir Singh 

Ketika dihubungi, Jagir berkata menyambut di rumah bersama ahli keluarga memberi makna yang sama seperti pergi ke tempat ibadat.

"Yang penting, orang tua mengajar yang muda. Perlu memahami makna sarbat da bhala bermakna rahmat untuk semua orang.

"Saya minta membuat doa agar dunia cepat sembuh daripada wabak Covid-19," katanya.

PKP yang masuk fasa kedua, disambung ke fasa ketiga bermula 15 Mac hingga 28 April.

Rakyat digesa duduk di rumah. Dan sebarang upacara keagamaan dilarang di tempat awam.