Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersediakah Malaysia longgarkan PKP?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KATA MP | Sudah hampir sebulan rakyat Malaysia berada dalam perintah kawalan pergerakan (PKP). Jumlah positif Covid-19 masih meningkat lebih 100 kes setiap hari. Purata kes positif harian dalam PKP fasa kedua setakat ini juga sebenarnya lebih tinggi berbanding fasa 1 (Nota 1).

Namun, ini mungkin disebabkan peningkatan ujian saringan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seperti dituntut oleh warga perubatan yang lain, saya berharap agar KKM menerbitkan data ujian saringan secara terperinci setiap hari.

Walau bagaimanapun setakat yang kita ada, Malaysia mencatatkan kadar kesembuhan antara yang terbaik di dunia iaitu, 45.01 peratus.

Di peringkat negeri pula, kadar kesembuhan menjadi lebih tinggi. Contohnya, tiga buah negeri mempunyai kadar kesembuhan yang melebihi 80 peratus iaitu Kelantan (83.55 peratus), Selangor (82.61 peratus), dan Pulau Pinang (81.0 peratus).

Syabas diucapkan kepada warga KKM yang bekerja keras memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia.

Namun ada juga negeri yang mempunyai kadar kesembuhan yang lebih rendah berbanding kadar kebangsaan, malah lebih rendah dari kadar sedunia, iaitu di bawah 20 peratus.

Semasa kita memasuki PKP fasa ketiga, persoalannya, adakah Malaysia sudah bersedia untuk melonggarkan kawalan pergerakan?

Purata kes harian tinggi

Dengan pengumuman bahawa beberapa sektor industri dan perniagaan bakal dibenarkan beroperasi, kerajaan perlu memberi perhatian kepada dua syarat yang penting sebelum membuat keputusan untuk menamat mahupun melonggarkan PKP.

Dua syarat itu saya rumuskan sebagai statistik dan sistem.

Pertama, kita perlu melihat kepada statistik Covid-19 masa kini. Adakah pola ataupun perkembangan menunjukkan wabak sudah terkawal? Dalam kata lain, adakah lengkung wabak sudah diratakan?

Kedua, kita perlu memastikan kesiapsiagaan sistem untuk berdepan dengan kes baru selepas PKP berakhir ataupun dilonggarkan. Adakah sistem kita mampu untuk mencegah, mengesan dan menguruskan kes Covid-19 dengan pantas jika ada kes baru muncul selepas PKP?

Dalam kata lain, kita perlu memastikan statistik jangkitan jatuh rendah manakala kesiapsiagaan sistem kekal berada pada tahap yang tinggi sebelum PKP boleh dilonggarkan.

Jika dilihat dari graf PKP fasa kedua, purata peningkatan kes harian lebih tinggi daripada fasa pertama. Malah kapasiti setiap negeri dan wilayah berlainan nampaknya berbeza-beza, berdasarkan kadar perebakan dan kadar kesembuhan yang dicatatkan setakat ini.

Ini bermaksud secara keseluruhannya, kita masih belum bersedia.

Namun, ada yang telah mencadangkan agar kerajaan mengambil tindakan berpandukan situasi tempatan.

Contohnya, PKP di daerah zon hijau boleh dilonggarkan sekiranya tiada kes baru selepas tempoh tentu. Strategi ini boleh dipertimbangkan sekiranya syarat kedua - iaitu kesiapsiagaan sistem - sudah dipenuhi.

Kerajaan perlu memastikan agar jika kes baru timbul, kita akan mempunyai kemampuan untuk mengesan kontak dengan pantas selain membuat saringan dan melaksanakan kuarantin untuk memutuskan rantai perebakan dengan serta merta.

Kerajaan perlu mengenal pasti sama ada peralatan, kemudahan - termasuk pusat saringan, unit rawatan rapi (ICU) dan pusat kuarantin - serta tenaga kerja memang mencukupi.

Tak boleh ambil risiko

Kini sudah lebih dua bulan warga barisan hadapan terutamanya di hospital dan klinik kerajaan berkerja keras melawan wabak ini. Antara soalan yang penting ialah, adakah mereka mampu untuk dikerahkan semula sekiranya berlaku gelombang seterusnya?

Saya juga perhatikan bahawa kadar penggunaan teknologi dalam kempen melawan Covid-19 di negara kita agak rendah.

Contohnya, dalam aspek pemantauan kuarantin kendiri. Sehingga minggu lepas, Sarawak menggunakan teknologi aplikasi pintar, manakala di tempat-tempat lain, pemantauan masih dibuat secara manual.

Pengesanan kontak juga dilakukan secara manual walaupun di beberapa buah negara lain termasuk Singapura, teknologi digunakan untuk membantu dalam aspek ini.

Jika PKP dilonggarkan ataupun ditamatkan, langkah-langkah kesihatan awam masih perlu dipatuhi dengan tegas untuk tempoh tiga sehingga enam bulan selepasnya.

Contohnya, adakah kita mempunyai mekanisme untuk memastikan penjarakan sosial di tempat awam, di sekolah, di pejabat, di pasar awam dan sebagainya?

Adakah kita mempunyai peralatan seperti termometer infra merah yang berkesan dalam jumlah yang mencukupi untuk digunakan di tempat-tempat ini, terutamanya di sekolah-sekolah bagi memastikan saringan gejala Covid-19?

Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini menggesa kerajaan pusat memperkenalkan protokol EHS Covid-19 (Covid-19 Environment, Health and Safety) yang baru bagi pelaksanaan terutamanya di sektor industri.

Kita tidak boleh mengambil risiko membiarkan kilang-kilang dan premis-premis perniagaan menggunakan piawaian yang tidak berkesan, seperti KKM terdahulunya telah menyatakan bahawa pembasmian kuman di jalan raya tidak berkesan melawan Covid-19, dan merupakan pembaziran sumber.

Kesimpulannya, secara amnya, adakah negara kita sudah bersiap sedia untuk berdepan situasi next normal (kelaziman baru)?

Daripada laporan-laporan sedia ada, kita boleh lihat bahawa statistik jangkitan masih tinggi manakala kesiapsiagaan sistem kita masih rendah.

Fokus kepada melawan wabak dan meratakan lengkung pada masa kini adalah teramat penting. Namun, kerajaan tidak boleh terhenti setakat itu sahaja.

Kerajaan perlu mengemukakan satu strategi keluar yang menyeluruh bermula sekarang. Kerangka pemikiran strategi kerajaan tidak boleh terhad kepada pengumuman harian menteri-menteri, tetapi perlu diperluaskan kepada strategi next normal.

Jika kita gagal untuk merancang, maka samalah dengan kita merancang untuk gagal.

Nota 1: Semua data berkaitan Covid-19 dalam artikel ini adalah berpandukan statistik KKM setakat 12 April 2020


STEVEN SIM ialah ahli parlimen Bukit Mertajam dan pengarah Kempen Penang Lawan Covid-19 yang bertanggungjawab dalam komunikasi dan pemberdayaan masyarakat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.