Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak pernah nampak Jalan Masjid India sunyi - Peniaga

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jalan Masjid India sepanjang kira-kira 350 meter adalah antara kawasan di pusat ibu kota yang sering menjadi tumpuan pengunjung, baik warga tempatan dan pelancong, pada hari biasa, lebih-lebih lagi di musim perayaan.

Pada hari-hari biasa kawasan Jalan Masjid India akan mulai sibuk dan riuh selepas laungan azan subuh, tetapi tidak pada waktu ini, ketika perintah kawalan pergerakan sedang berlangsung.

Apatah lagi tiga bangunan di kawasan ini, Selangor Mansion, Malayan Mansion, Menara City One kini telah dilaksanakan perintah kawalan diperketatkan (PKPD) susulan kes jangkitan Covid-19.

M Subramaniam, 58, yang sebelum ini menjalankan perniagaan kacang putih dan buah-buahan di Jalan Munshi Abdullah yang terletak di kawasan Jalan Masjid India menyatakan tidak pernah terlintas di fikirannya mengenai keadaan pada hari ini.

"Saya sudah berniaga di sini lebih 25 tahun. Tidak pernah saya fikir kawasan Masjid India akan ditutup," katanya.

Menurut Subramaniam, dia tidak dapat menahan perasaannya ketika mendapat tahu mengenai perintah PKP di situ.

"Saya rasa terkejut dan sedih selepas ia ditutup. Tak pernah nampak (kawasan Masjid India) sunyi sebegini," katanya kepada Malaysiakini.

Nama jalan ini diberi nama sempena masjid yang dibina warga India Muslim di Kuala Lumpur pada 1863. 

Binaan ini masih tersergam sehingga kini, meski di himpit berbagai bangunan kota raya dan pada waktu biasa masjid ini menunaikan solat berjemaah, solat Jumaat, solat Tarawih di bulan Ramadan dan solat hari raya.

Menurut sejarahnya, masjid ini dibangunkan di atas sebidang tanah yang telah dianugerahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Alaeddin Sulaiman Shah kepada seorang peniaga berketurunan India Muslim yang terkenal pada waktu itu, Mohamad Kassim.

Berhadapan pintu masuk Masjid India ialah bangunan Wisma Yakin dan di antara keduanya, pusat gerai peniaga kecil dengan binaan berbumbung.

Di sebelah Masjid India terletak bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion, yang juga menjadi pusat petempatan padat para pekerja kawasan sekitar, sebahagian besar warga asing.

Di kawasan Jalan Masjid India ini terletak pelbagai kedai menjual segala macam barangan, khususnya kain, baju, tudung, barang kemas dan pasaraya Mydin serta kedai cendera hati perkahwinan.

Semalam, Malaysiakini membuat tinjauan di Jalan Masjid India selepas mendapati kawasan perniagaan itu ditutup sepenuhnya, bagi membolehkan penduduk sekitar membuat ujian saringan Covid-19.

Kawasan ini popular bagi warga Kuala Lumpur dan Lembah Klang untuk membeli-belah pada musim perayaan khususnya Hari Raya Puasa dan Deepavali.

"Walaupun, Masjid India dikenakan PKP, saya datang setiap hari ke sini untuk bagi makanan di burung-burung di kawasan ini.

"Saya bagi makanan kepada burung-burung di sini hampir setiap hari selama 10 hari. Kesian kalau tak bagi makanan. Jadi, saya datang bagi roti kepadanya," kata Subramaniam.

Subramaniam turut berkongsi pengalaman pahit selepas lori beliau yang masih berada di dalam kawasan PKP baterinya dicuri.

"Lori saya masih di Jalan Munshi Abdullah. Tapi, bateri kena curi. Tak tahu siapa.

"Nak alih keluar pun tak boleh. Nak beli bateri baru pun susah. Kedai masih tutup," katanya.

Makna besar bagi kami

Berkongsi rasa sedih dengan Subramaniam, pemilik Restoran ABC, Ayub Khan, 7 tahun berkata bahawa beliau tetap tenang walaupun restorannya terpaksa ditutup kerana PKP.

"Saya membuka restoran sejak 15 tahun yang lalu. Kalau ditanya bagaimana perasaan Masjid India ditutup, tidak ada apa-apa nak kata. Mungkin kehendak Tuhan.

"Sedih melihat Masjid India ditutup. Memang pusat perniagaan yang penting di Kuala Lumpur walaupun kawasan ini nampak macam kecil.

"Ia makna besar bagi kami peniaga di sini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ayub menjangkakan ekonomi di kawasan Masjid India akan mengambil masa lebih setahun untuk kembali pulih seperti keadaan sebelum wabak Covid-19.

"Ramai masih bergelut dengan masalah sewa dan gaji kepada pekerjanya. Harap semuanya kembali normal," katanya.

Bimbang kebajikan penduduk

Sementara itu, Pengarah Urusan agensi pelancongan A Baharuddin Travel & Tour, Zaleha Banu menyatakan rasa kebimbangan para penduduk dan pekerja di kawasan Masjid India.

"Kami mula beroperasi dari (Masjid India) selama 20 tahun. Selain pusat peniagaan ia juga satu pusat pelancong. Selalu sesak dengan kehadiran pelancong.

"Khususnya, pelancong dari India tidak akan terlepas daripada membeli-belah di Masjid India sebelum pulang," katanya kepada Malaysiakini.

Zaleha memberitahu dirinya tidak ke pejabat sejak 18 Mac selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP yang kini dilanjutkan sehingga 28 April.

"Pada bulan-bulan Ramadan, tempat ini memang meriah. Bazar Ramadan, buka puasa di jalan raya, tidak perlu sebut kemeriahan kawasan ini," katanya.

"Tapi, selepas dengar berita Masjid India macam nak menangis. Tak pernah nampak perintah berkurung dalam hidup saya. Saya doa semuanya akan sihat dan selamat," katanya.

Dia juga berkata kerajaan perlu memastikan kebajikan dan keselamatan penduduk serta pekerja di Masjid India terjamin.

"Ini bukan soal Orang Malaysia, India, Bangladesh dan Pakistan dan sebagainya. Kita semua manusia. Itu yang penting.

"Tapi, pada masa yang sama mereka juga (warga asing) tidak boleh ingkar arahan kerajaan. Semua perlu bekerjasama," katanya.

Dalam pada itu, Tajuddin Farook, 52 penduduk di Selangor Mansion mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diterima daripada kerajaan.

"Pada awal memang ada kesukaran sikit. Sekarang semua dah beres. Makanan di hantar tepat pada waktu. Setahu saya tiada siapa ketinggalan.

"Ada juga sumbangan daripada NGO dan restoran berdekatan," kata pemandu lori yang berusia 52 tahun itu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.