Skip to main
Logo Malaysiakini

Lantikan politik: Kuasa ada pada PM, kata Ahmad Jazlan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lantikan politik baru bagi menerajui agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam kalangan wakil rakyat kerajaan adalah perkara biasa apabila berlakunya pertukaran kerajaan dan ia tidak perlu dipolitikkan.

Kata Ahmad Jazlan Yaakub, meskipun lantikan itu bagi memastikan kerjasama yang baik agensi terbabit dengan kerajaan, mereka yang terpilih harus menunjukkan prestasi kerja yang bagus. 

“Kuasa ada pada perdana menteri, yang mana dia rasa dia nak lantik, dia lantik.

“Malah kita (yang dilantik) yang ada pada hari ini pun kena terima hakikat, walaupun dilantik pengerusi GLC, saya sendiri contohnya, kalau saya tak perform (berkhidmat dengan baik), tak mustahil perdana menteri panggil saya untuk meletakkan jawatan.

“Yang penting, parti mana pun, sesiapa pun apabila ada kuasa, berkhidmatlah untuk negara. Itu yang penting,” kata anggota Parlimen Machang dari Umno itu kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Beliau yang baru dilantik menjadi pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata perkara sama juga berlaku pada 2018 apabila BN kalah dalam pilihan raya umum (PRU).

Katanya lantikan-lantikan yang dibuat kerajaan terdahulu turut ditamatkan oleh Pakatan Harapan (PH) beberapa minggu selepas mereka membentuk kerajaan.

Dapat persetujuan PM

Malah, tambah Ahmad Jazlan, perkara sebegitu turut menjadi kelaziman di peringkat negeri apabila berlakunya pertukaran kerajaan negeri, seperti di Kedah, Perak, Selangor dan Terengganu.

Katanya, pertukaran itu bukan saja penting bagi memastikan kerjasama yang baik dengan kerajaan yang ada sekarang, tetapi juga dari aspek kepatuhan.

“Kalau dalam kalangan orang yang tak menyokong kerajaan yang ada pada hari ini, macam mana nak bekerjasama? Macam ada jurang.

“Tak boleh lari, ini hakikat lumrahnya. Lumrah ini biasa berlaku. Tak perlu dipolitikkan benda ini,” kata mantan timbalan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu lagi.

Lantikan Jazlan diumumkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Khairuddin Aman Razali minggu lalu, berkuat kuasa 8 April 2020, bagi menggantikan Mohd Bakke Salleh yang menamatkan perkhidmatannya pada 31 Mac 2020.

Khairuddin Aman Razali

Selain Ahmad Jazlan, Anggota Parlimen Pasir Mas dari PAS, Ahmad Fadhli Shaari, turut dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang baru, menggantikan K Saraswathy.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan memberitahu semua anggota parlimen kerajaan persekutuan yang tidak dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri akan dilantik mempengerusikan GLC. 

Kata setiausaha agung PAS itu lagi, secara umumnya, ada pengerusi GLC yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan ada yang dilantik oleh kementerian berkaitan, namun perlu mendapat persetujuan daripada perdana menteri.

Lantikan itu mendapat kritikan sesetengah pihak, antaranya bekas menteri kanan Umno, Rafidah Aziz yang menyelar kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar tidak hanya mengisi jawatan kosong, tetapi membuat lantikan berdasarkan “integriti, kejujuran, tanggungjawab, akauntabiliti, dan kerja berpasukan”. 

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata kejujuran dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan tidak harus hanya menjadi milik pihak-pihak tertentu semata-mata.

“Semua pihak perlu ada kejujuran. Tidak satu pihak pun boleh mendabik dada (mengatakan) hanya dia yang jujur.

“Di dalam sesebuah sungai, akan ada dasarnya. Apabila ada dasarnya, akan adalah kayu-kayan di bawah, akan adalah duri dan ranjau di bawah. Sama sahaja,” katanya lagi.

Di samping itu, bekas perdana menteri Najib Razak turut menempelak pemimpin PH yang mempersoalkan lantikan berkenaan, dengan mendakwa PH sendiri ingkar akan janjinya untuk mengakhiri lantikan politik selepas menang PRU lalu.

"PH yang janji tak akan ada lantikan politik jika menang.

"PH yang mungkir janji dengan membuat lantikan politik secara berbaris-baris," katanya di Facebook.