Skip to main
Logo Malaysiakini

Lesen kilang sawit di Kinabatangan digantung kerana cemar sungai

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lesen sebuah kilang sawit digantung sebulan kerana menyebabkan pencemaran di sebuah sungai di Tongod, Kinabatangan minggu lepas.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata sebuah pasukan penyiasat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah telah menjalankan siasatan di sungai itu pada 8 dan 9 April lepas setelah menerima aduan daripada Jabatan Air Sabah serta hantaran yang tular di media sosial.

"Pasukan penyiasat JAS Sabah telah menjalankan siasatan bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan kakitangan Jabatan Air Tongod.

"Siasatan mendapati efluen bertakung di parit ladang sawit yang menghampiri Sungai Malagatan dalam jarak lebih kurang 100 meter hingga 200 meter dari kawasan sungai," menurutnya dalam kenyataan di Sandakan malam ini.

Beliau berkata lokasi takungan efluen itu terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan pengairan tanah sebuah kilang sawit yang disyaki menyalurkan efluen sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air Tongod dihenti tugas pada 8 April sehingga menjejaskan sumber air kepada pengguna sekitar Tongod.

Ahmad Masrizal berkata JAS Sabah telah mengarahkan kilang sawit itu melakukan kerja-kerja pembersihan serta-merta ke atas alur air yang mengalirkan efluen dari kawasan pengairan ladang ke Sungai Malagatan dengan menyedut efluen serta mengorek kesan-kesan enapcemar pada parit dan alur air.

"Pihak kilang diarah mempercepatkan kerja-kerja pencucian kolam pengolahan efluen supaya mematuhi sepenuhnya syarat-syarat lesen yang dikeluarkan oleh JAS di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

"JAS Sabah juga telah membuka kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan di mahkamah ke atas pihak kilang kerana gagal mematuhi syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan di bawah Seksyen 16 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Beliau meminta JAS Sabah meneruskan pemantauan rapi ke atas tindakan pembersihan dan pembaikan oleh pihak kilang seperti yang telah diarahkan selain terus memantau punca lain yang berpotensi menyebabkan pencemaran sungai di Tongod.

"Saya juga ingin mengajak orang ramai untuk membantu JAS Sabah dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

- Bernama