Skip to main
Logo Malaysiakini

KWSP: Caruman wajib April dilanjutkan lagi ke 30 April

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melanjutkan tarikh membuat bayaran caruman wajib untuk gaji bulan Mac (caruman April 2020) dari 24 April ke 30 April.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata kelonggaran ini diambil berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengambil kira kesan terhadap perniagaan di Malaysia.

“Lazimnya, majikan diwajibkan membuat bayaran caruman KWSP sebelum atau pada 15 haribulan setiap bulan tetapi KWSP mengumumkan tarikh bayaran untuk bulan April ini dilanjutkan ke 24 haribulan.

“Lembaga KWSP telah sebulat suara bersetuju untuk melanjutkan lagi tarikh bayaran caruman sehingga akhir bulan ini selepas menerima maklum balas dan permintaan yang tinggi dari pihak majikan,” jelasnya.

Semalam, KWSP melanjutkan tarikh membuat bayaran caruman wajib untuk gaji bulan Mac (caruman April 2020) dari 15 April kepada 24 April 2020.

KWSP turut berkata majikan boleh membuat bayaran caruman tersebut melalui laman sesawang KWSP iaitu i-Akuan dalam portal i-Akaun (majikan), perbankan internet ataupun di kaunter bank yang dilantik,” kata KWSP.

Pelanjutan tarikh bayaran caruman wajib adalah sebahagian daripada pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin ekoran penularan wabak Covid-19 yang mengakibatkan negara dikenakan PKP.

PKP fasa kedua yang mula dilaksanakan mulai 1 April hingga 14 April, tetapi dilanjutkan sehingga 28 April.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP akan dilanjutkan selama dua minggu lagi, bermula 15 April ini hingga 28 April.