Skip to main
Logo Malaysiakini

'Azmin perlu jelaskan isu laman web Miti tak dapat diakses'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) menggesa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Mohamed Azmin Ali untuk mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan laman web kementerian itu diakses orang ramai.

Miti semalam mendakwa lebih 176,000 pelawat yang membanjiri laman web berkenaan menyebabkan ia tidak dapat diakses.

Lonjakan bilangan pelawat di laman web itu berlaku selepas kementerian membuka permohonan untuk pengecualian perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi perkhidmatan tidak penting tertentu.

"Kami menyeru Menteri Miti merangkap Menteri Kanan, Mohamed Azmin Ali untuk mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan ini dan menjelaskan bagaimana beliau akan menyelesaikan masalah pada kadar segera," kata kenyataan media yang dikeluarkan Majlis Setiausaha PH.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Dr Ong Kian Ming (DAP), Fahmi Fadzil (PKR), dan Dr Hatta Ramli (Amanah).

Kenyataan itu juga menyorot bahawa isu berhubung perkara itu tidak terhadap dengan akses ke laman web Miti saja, tapi juga berpuluh ribu permohonan susulan "garis panduan yang tidak jelas" dan seterusnya akan mengambil masa.

"Keadaan ini semestinya akan mengakibatkan beban tambahan kepada syarikat-syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang sedang menghadapi cabaran yang besar pada masa ini," katanya.

Kata kenyataan itu lagi, sektor tambahan yang diumumkan tidak difikirkan dengan baik dan beberapa definisi terlalu umum.

"Pihak Miti menyalahkan lebih 176,000 pelawat ke laman web MITI dengan mengatakan bahawa majoriti pelawat ini adalah individu dan bukan syarikat.

"...MITI sepatutnya boleh menganggarkan laman webnya akan dibanjiri pelawat dan permohonan kerana Miti telah menambahkan sektor yang dibenarkan untuk beroperasi.

"...Kekeliruan mengenai beberapa definisi yang terlalu umum juga pasti akan menambahkan jumlah pelawat dan juga bilangan permohonan. Kekeliruan tentang sama ada perkhidmatan firma guaman boleh beroperasi adalah satu contoh," kata kenyataan itu.