Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar setuju SPM, STPM ditangguh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Presiden PKR Anwar Ibrahim setuju dengan penangguhan peperiksaan utama, antaranya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), ke tahun depan, susulan penutupan sekolah dan institusi pendidikan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun Anwar berkata penangguhan tersebut bukan penyelesaian keseluruhan, dan Kementerian Pendidikan perlu mengambil tindakan segera agar pembelajaran pelajar tidak terjejas ekoran perintah tersebut.

"Kalau kurikulum sekolah tak dapat diikuti atau dijalankan ikut jadual, (penangguhan) itu harus dipertimbangkan. Jadi saya setuju kalau hal itu (pembelajaran) tidak dapat ditangani dan beberapa ujian terpaksa ditangguh.

"Tetapi penangguhan itu bukan penyelesaian. Perlu ada tindakan segera untuk memastikan program pendidikan dipertingkatkan.

"Boleh belajar di rumah atau kolej, tetapi pelajaran mesti diteruskan," katanya ketika sidang media yang dibuat secara dalam talian di laman Facebooknya, hari ini.

Pada 12 April lalu, Malaysiakini memetik sumber Kementerian Pendidikan sebagai berkata, tarikh peperiksaan utama dijangka akan dipinda selepas kerajaan melanjutkan PKP sehingga 28 April ini.

Menurut sumber itu, peperiksaan yang ditangguhkan selain SPM dan STPM ialah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), peperiksaan PT3 dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Bagaimanapun ia tertakluk kepada keputusan kabinet, kata sumber itu.

Semalam, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) juga menyuarakan saranan yang sama, dengan menyifatkan tidak adil untuk meneruskan peperiksaan SPM dan STPM di saat sesi persekolahan sudah ditutup selama enam minggu.

Menurut laman Free Malaysia Today, pengerusinya Noor Azimah Nordin berkata kerajaan boleh membawa peperiksaan itu ke tahun depan dan permohonan pelajar ke universiti juga boleh dibuat selepas itu.

Walaupun pelajar mempunyai akses kepada pembelajaran atas talian, tetap ada yang tidak mempunyai akses internet, kata Noor Azimah yang juga anggota Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.


Baca: Jangankan nak beli data, makan pun susah, keluh ibu


Mengulas lanjut, Anwar membangkitkan masalah capaian jalur lebar yang terhad yang mengganggu pembelajaran dalam talian.

"Kemudahan yang ada harus ditingkatkan.

"Mahasiswa perlu diberikan tugasan, kalau tak dapat buat secara online...harus diberi (masa) untuk siapkan," katanya lagi.

Beliau turut menyuarakan penghargaan kepada para guru yang terus berkhidmat sepanjang tempoh PKP.

"Kita berterima kasih kepada pegawai kesihatan dan keselamatan, tapi (pada masa sama) ramai guru yang turut terus berkhidmat seperti biasa, cuma kemudahan internet (tidak dimiliki) semua pelajar," katanya lagi.