Skip to main
Logo Malaysiakini

Ugut bunuh Guan Eng: Polis siasat kumpulan WhatsApp

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis sedang menyiasat satu kumpulan Whatsapp yang didakwa mengeluarkan ancaman bunuh terhadap bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Lim sebelum ini dituduh terlibat dalam penjualan empat hotel Lembaga Tabung Haji kepada syarikat tujuan khas (SPV) Kementerian Kewangan (Diperbadankan), Urusharta Jamaah Sdn Bhd.

Tuduhan itu dinafikan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof, yang mengatakan menteri hal ehwal agama bertanggungjawab membuat keputusan berkaitan Tabung Haji dan bukan Menteri Kewangan.

Dalam surat yang dihantar kepada Lim pada 18 Mac, Ketua Urusetia KPN (Perundangan) Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pelakunya didakwa dari "Skuad cari Pasal".

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Mohd Azman, kes itu disiasat oleh Inspektor Mohamad Hanif Abdul Hanif dari Unit Siasatan Jenayah.

Februari lalu, polis menahan seorang suspek Nor Zigan Mohd Tori, 47 yang merupakan pemilik akaun Facebook "Zihan Tori" kerana dikatakan mengeluarkan ugutan bunuh terhaap Lim berhubung penjualan aset Tabung pada 18 Feb

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia. 

Suspek mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur dan dibebaskan dengan jaminan polis sebanyak RM6,000.