Skip to main
Logo Malaysiakini

Pembatalan aktiviti surau, masjid di Johor dilanjut

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah agar semua aktiviti di masjid, surau dan musolla di Johor ditangguhkan lagi, sesuai dengan lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga 28 April ini.

Penangguhan itu termasuklah aktiviti solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu, solat tarawih, dan apa jua aktiviti lain.

Malah, baginda turut bertitah, penangguhan itu turut termasuk solat sunat Aidilfitri dan aktiviti-aktiviti lain seperti aktiviti masakan bubur lambuk di masjid pada bulan puasa nanti.

Perkara itu diumumkan di Facebook rasmi baginda tadi.

“Hanya tiga orang pegawai masjid iaitu imam, bilal, dan noja yang dibenarkan melaksanakan laungan azan dan pelaksanaan solat berjemaah lima waktu dan solat tarawih di masjid,” kata hantaran itu.

Berdasarkan hantaran itu, titah itu dibuat Sultan Ibrahim dalam pertemuan bersama mufti negeri Johor, Yahya Ahmad yang berlaku di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Yahya menjelaskan penangguhan terhadap solat sunat Aidilfitri dan aktiviti lain seperti masakan bubur lambuk, adalah tertakluk pada keputusan kerajaan sama ada akan melanjutkan PKP atau pun tidak.

Esok, PKP akan masuk fasa ketiga, dan diijangka tamat 28 April ini, bersamaan 5 Ramadan 1441, hari kelima umat Islam menjalani ibadah berpuasa.

Pembatalan segala aktiviti di masjid dan surau di Johor bermula sejak 16 Mac, dua hari sebelum PKP dikuatkuasakan, bagi mengelakkan jangkitan wabak Covid-19 yang semakin menular.

Sementara itu, sempena ketibaan bulan Ramadan pula, baginda bertitah agar masjid dan surau dibenarkan mengguna pembesar suara bagi mengumandangkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran 10 minit sebelum azan waktu Maghrib dan bacaan al-Quran dan tarhim 15 minit sebelum Subuh.

Hal tersebut dibenarkan bagi menghidupkan syiar bulan Ramadan yang berbaki beberapa minggu lagi.

Selain itu, rakyat Johor turut dinasihatkan agar menangguhkan dahulu majlis nikah, serta diingatkan agar tidak berkumpul beramai-ramai di dalam rumah.