Skip to main
Logo Malaysiakini

PKPD di Hulu Langat tamat, kecuali sekolah tahfiz, sebuah rumah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Hulu Langat berakhir hari ini kecuali sebuah sekolah tahfiz dan sebuah rumah di kawasan itu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Menteri pertahanan berkata, kerajaan membuat keputusan berkenaan berdasarkan nasihat menteri kesihatan.

"Di Sungai Lui (Batu 21 hingga Batu 23) di Hulu Langat, hari ini tarikh akhir PKPD dilaksanakan.

"Atas nasihat Menteri Kesihatan, PKPD di Hulu Langat ditamatkan, kecuali Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23 Kampung Paya Lebar dilanjut ke 28 April 2020," kata Ismail Sabri pada sidang media di Putrajaya yang disiarkan dalam talian petang ini.

Ismail berkata PKPD kekal dilaksanakan di sekolah tahfiz dan rumah berkenaan kerana masih terdapat kes jangkitan Covid-19.

Pada 29 Mac, kerajaan mengumumkan PKPD dikuatkuasakan di beberapa kawasan di Hulu Langat selepas lebih satu perempat daripada penghuni di sebuah sekolah agama dijangkiti Covid-19.

Sementara itu PKPD di Kampung Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor akan dilanjutkan sehingga 28 April kerana terdapat peningkatan kes positif Covid-19.

Ismail berkata kerajaan juga akan melanjutkan PKPD di kondominium Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur serta bangunan Malayan Mansion dan Selangor Mansion di Masjid India sehingga 28 April kerana peningkatan kes Covid-19.