Skip to main
Logo Malaysiakini

BPN: RM4.9 bilion telah disalurkan kepada 6.6 juta orang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seramai 6.6 juta rakyat telah menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang berjumlah RM4.9 bilion setakat 12 April, 2020, kata Menteri Kewangan Tengku  Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata sehingga 12 April, 2020, 8.3 juta penerima telah diluluskan untuk BPN manakala permohonan baharu adalah sebanyak 2.77 juta dan jumlah permohonan rayuan sebanyak 274,000.

“Bagi permohonan baharu dan rayuan, keputusan dan pembayaran akan dibuat pada bulan Mei selepas semakan dan verifikasi dilakukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN),” katanya menerusi siaran video di laman Facebook beliau, hari ini.

Tengku Zafrul berkata sehingga 12 April 2020, seramai 3.2 juta (96.6 peratus) isi rumah B40 dan 3.4 juta (92.3 peratus) individu bujang B40 telah menerima pembayaran masing-masing berjumlah RM3.2 bilion dan RM1.7 bilion yang keseluruhannya berjumlah RM4.9 bilion.

Menurutnya, dalam minggu ini antara tempoh 13 hingga 15 April 2020, sebanyak RM750 juta akan disalurkan kepada lebih kurang 1.5 juta penerima.

Selain itu, katanya, kerajaan juga menyediakan insentif bayaran secara one-off (sekali) sebanyak RM600 kepada pemandu teksi, pemandu pelancong dan juga pengayuh beca.

“Sehingga 12 April, 2020, lebih kurang 25 ribu (atau 86 peratus) pemandu teksi, seramai 7.5 ribu (atau 63 peratus) pemandu pelancong dan 100 peratus pengayuh beca telah menerima bayaran insentif tersebut, ” katanya.

Manakala bayaran insentif secara one-off (sekali) sebanyak RM500 bagi pemandu e-hailing akan dibuat pada 20 April kepada lebih 90,000 pemandu e-hailing sepenuh masa, katanya.

Perangkaan yang diumumkan oleh Tengku Zafrul itu adalah berdasarkan kepada laporan Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang dilaporkan oleh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).

- Bernama