Skip to main
Logo Malaysiakini

Malaysia cadang Asean rangka pelan pemulihan ekonomi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysia menyeru supaya semua negara Asean bekerjasama bagi memastikan tiada negara yang tercicir dalam menangani krisis wabak Covid-19.

Malaysia mencadangkan supaya Asean merangka Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19, yang memberi tumpuan bukan sahaja kepada aspek kewangan, tetapi juga kepada jaringan keselamatan sosial, jaminan makanan dan pendidikan kepada penduduk serantau.

“Malaysia menekankan bahawa ada hikmah di sebalik setiap krisis. Semua negara menghadapi masalah yang sama dan semua negara anggota Asean perlu bekerjasama bagi memastikan tidak ada siapa yang tercicir.

“Asean juga perlu mengelak daripada mengenakan sebarang sekatan tidak perlu yang boleh menghalang kelancaran bekalan perubatan, makanan dan barang keperluan.

“Malaysia menyeru negara anggota Asean agar meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi landskap baharu di rantau ini,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadualkan menyertai Sidang Kemuncak Khas Asean mengenai Covid-19 menerusi persidangan video yang berlangsung hari ini.

Sidang kemuncak itu turut disertai semua pemimpin negara Asean bersama Setiausaha Agung Asean Lim Jock Hoi, dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam merangkap Pengerusi Asean, Nguyn Xuân Phúc.

Dalam kenyataan tersebut turut mencadngkan supaya pelan pemulihan tersebut perlu mengandungi langkah-langkah untuk menjamin rangkaian bekalan kepada 600 juta penduduk rantau Asean.

“Ini termasuk memastikan kelancaran aliran bekalan untuk perubatan, makanan dan barang keperluan; di samping prasarana kritikal untuk laluan perdagangan melalui udara, darat dan laut.

“Asean tidak boleh dibiarkan kembali ke zon selesa, sebaliknya membangunkan rantau Asia Tenggara sebagai pusat pertumbuhan dan kuasa baharu, bukan hanya untuk 600 juta penduduknya bahkan untuk seluruh dunia,” katanya.

Di samping itu, Malaysia turut menyokong penubuhan Dana Khas Covid-19 Asean dan mengharapkan supaya Asean terus membangunkan rezab bekalan perubatan serantau, bagi keperluan ketika kecemasan kesihatan.

“Pelbagai mekanisme dan struktur Asean, yang diterajui oleh Malaysia, seperti Pusat Rangkaian Operasi Kecemasan Asean bagi Kecemasan Kesihatan Awam (Asean EOC Network) dan Pusat Penilaian Risiko dan Komunikasi Asean (ARARC) telah terbukti dapat berfungsi dengan berkesan dalam mencari penyelesaian krisis.

“Malaysia sentiasa bersedia untuk memerangi pandemik ini bersama-sama anggota Asean yang lain,” katanya.