Skip to main
Logo Malaysiakini

'Asean, rakan Campur Tiga perlu bekerjasama tangani impak Covid-19'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Asean perlu bekerjasama rapat dengan rakan pakatan Campur Tiganya bagi memastikan Asia Pasifik pulih daripada impak ekonomi wabak Covid-19 bersama-sama, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Semasa Sidang Kemuncak Khas Asean Campur Tiga mengenai Covid-19 yang diadakan menerusi persidangan video hari ini, beliau berkata, Malaysia mencadangkan Asean merangka satu pelan pemulihan ekonomi pasca-Covid-19 yang menumpukan bukan hanya aspek kewangan tetapi juga jaringan keselamatan sosial, jaminan makanan dan pendidikan.

Para pemimpin daripada blok 10 negara itu dan tiga rakan pakatan Asean iaitu China, Korea Selatan dan Jepun hari ini membincangkan langkah-langkah dan inisiatif bagi mengukuhkan kerjasama dalam usaha memerangi wabak tersebut.

"Pandemik Covid-19 adalah gabungan krisis kesihatan dan ekonomi. Laporan baru-baru ini menunjukkan negara-negara yang dilanda wabak itu telah menurunkan unjuran pertumbuhan mereka bagi 2020 berikutan pertumbuhan perlahan dalam dagangan, pembuatan dan perdagangan,” kata Muhyiddin.

Justeru, kata beliau, satu pelan pemulihan bersepadu dan diselaraskan adalah penting bagi masa depan Asean dan daya tahan pasca-Covid-19.

Perdana menteri menambah, hal itu penting bagi mengekalkan kestabilan pasaran dan mengelakkan potensi risiko kemelesetan ekonomi.

“Kita juga mesti menggunakan Rizab Beras Kecemasan Asean Campur Tiga (APTERR) bagi memastikan rakyat tidak terjejas oleh kekurangan makanan dalam tempoh terdekat ini.

"Malaysia melihat ini sebagai kaedah terbaik bagi rakan pakatan Campur Tiga kita untuk membantu kita sebagai blok serantau bagi memastikan ekonomi kita dipulihkan semula dan kebajikan kira-kira 600 juta rakyat kita terjaga.

"Sebagai contoh, kita boleh belajar dari China berkenaan sekatan pergerakan yang dikenakan di wilayah mereka dan apa yang mereka lakukan selepas menarik balik sekatan ini,” katanya.

Bagi Malaysia, China sentiasa membantu negara ini sejak dari permulaan lagi dan Malaysia amat menghargai bantuan yang diberikan oleh China.

Mengenai Jepun pula, Asean boleh belajar bagaimana negara itu berjaya melaksanakan pakej rangsangan terbesar di Asia Pasifik dan bagaimana Asean boleh memilih apakah yang sesuai bagi negara masing-masing.

Sementara itu, penyelesaian Korea Selatan bagi ujian secara besar-besaran akan sangat berguna untuk dipelajari dan dilaksanakan oleh Aseaen, kata Muhyiddin.

"Buat masa ini, Malaysia berpandangan bahawa kita perlu terus komited untuk terus membuka pasaran kita, mengekalkan aliran perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan yang normal untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi serantau kita tanpa halangan perdagangan yang tidak perlu atau gangguan kepada rantaian bekalan global.

"Selain itu, kita perlu menstabilkan pembuatan dan bekalan barangan dan perkhidmatan penting bagi krisis ini, termasuk bekalan perubatan penting dan produk pertanian penting, di samping mengekalkan dan mempelbagaikan kesalinghubungan rantaian bekalan dalam rantau ini dan di luar darinya,” katanya.

Bagi Malaysia, Muhyiddin berkata, negara ini menyedari kesan buruk Covid-19 ke atas ekonominya dan paling utama ke atas kehidupan rakyatnya.

Baru-baru ini, Malaysia mengumumkan tiga pakej rangsangan ekonomi termasuk langkah-langkah tambahan untuk membantu perusahan kecil dan sederhana mikro bernilai RM260 billon (AS$64.6 bilion), yang merupakan 18.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Menerusi pakej rangsangan itu, bantuan tunai juga diberikan kepada kumpulan berpendapatan rendah bagi mendapatkan barangan makanan asasi serta insentif khas kepada petani, nelayan dan penternak menerusi Dana Jaminan Makanan.

- Bernama