Skip to main
Logo Malaysiakini

Bangunan awam mungkin jadi penjara sementara buat pengingkar PKP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KORONAVIRUS | Ekoran pengumuman kerajaan bahawa semua pengingkar perintah kawalan pergerakan (PKP) akan didakwa di mahkamah, Jabatan Penjara kini sedang meneliti pilihan yang ada bagi mengelakkan berlaku kesesakan melampau di pusat tahanan mereka.

Sumber berkata, antara cadangan yang sedang diteliti ialah menjadikan bangunan lain yang ada - dan bersesuaian - untuk dijadikan tempat tahanan sementara bagi menempatkan pesalah yang melanggar PKP.

Bagaimanapun, sumber memberitahu Malaysiakini, hal itu masih di peringkat cadangan dan tertakluk kepada kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Kami boleh letakkan mereka dalam tempat yang diisytiharkan sebagai penjara sementara. Ini adalah satu daripada pilihan yang ada sekarang.

"Apa pun, keputusan akhir masih terserah kepada KND. Ini adalah apa yang jabatan ini rancang untuk cadangkan sebagai penyelesaian bagi menghalang wabak Covid-19 di penjara," katanya.

Sumber itu menjelaskan idea berkenaan dipertimbangkan kerana pengingkar PKP dianggap sebagai banduan berisiko rendah.

Malaysiakini dimaklumkan, KDN boleh mengisytiharkan sebarang bangunan yang sesuai sebagai penjara sementara ketika berlaku ancaman wabak penyakit.

Bagaimanapun, sumber terbabit tidak menjelaskan jenis bangunan yang menjadi pilihan jabatan penjara.

Setakat hari ini, difahamkan hampir 2,000 orang pesalah yang mengingkari PKP dihukum penjara atau berdepan hukuman penjara jika mereka gagal membayar denda yang ditetapkan mahkamah.

50 penjara sesak

"Buat masa ini, cara untuk mengurangan risiko Covid-19 berlaku di penjara ialah memastikan agar mereka disaring dan diasingkan terlebih dulu di bangunan yang berlainan daripada tahanan sedia ada," katanya yang enggan dikenali.

Semalam, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan polis tidak lagi akan mengeluarkan kompaun kepada pengingkar PKP sebaliknya akan terus direman atau didakwa di mahkamah.

Katanya, langkah itu berkuat kuasa mulai hari ini, selaras dengan bermulanya fasa ketiga PKP.

Pada 19 April lalu, Ismail Sabri berkata, isu kesesakan di penjara akan dibincangkan oleh jabatan terbabit bersama polis bagi membolehkan penyelesaian dicari.

Terdahulu Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Zulkifli Omar, menulis surat mencadangkan agar mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara ke atas pengingkar PKP sambil menekankan bahawa ia mungkin mencetuskan wabak Covid-19 di penjara seluruh negara.

Menurut jurucakap Jabatan Penjara, berlaku kesesakan di 50 penjara dalam negara ini. Kemudahan itu, katanya, disediakan untuk menempatkan 52,000 banduan tetapi ketika ini ada kira-kira 73,000 tahanan di situ.