Skip to main
Logo Malaysiakini

Amerika hentikan sumbangan dana pada WHO

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL| Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa memaklumkan pentadbirannya telah menghentikan pembiayaan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ekoran dakwaan kegagalan menangani pandemik Covid-19.

Trump, pada sidang media di Rumah Putih, mengatakan WHO telah "gagal dalam tugas dasarnya dan mesti dipertanggungjawabkan”, lapor Reuters.

Dia mengatakan kumpulan itu telah memberi 'maklumat yang tidak betul' tentang virus yang berasal dari China itu sehingga menyebabkan wabak itu menular.

Amerika Syarikat adalah penderma keseluruhan terbesar kepada WHO yang berpusat di Geneva, menyumbang lebih dari AS$400 juta pada tahun 2019, kira-kira 15 peratus daripada anggarannya.

Pembekuan pembiayaan itu sudah dijangka kerana Trump semakin kritikal terhadap organisasi itu ekoran krisis kesihatan global terus berlanjutan.

Keputusan Trump mendapat kecaman Presiden Persatuan Perubatan Amerika Dr Patrice Harris yang menyifatkan keputusan pentadbiran Amerika Syarikatn salah dan mendesak supaya ia dipertimbangkan semula.

Trump menuduh WHO terlalu lunak dengan China pada awal wabak itu sehingga menyebabkan kematian yang tidak sepatutnya berlaku selain gagal mengeluarkan larangan perjalanan ke China.

"WHO gagal dalam tugas asas ini dan harus dipertanggungjawabkan," kata Trump.

Angka kematian Amerika Syarikat akibat Covid-19, iaitu penyakit pernafasan yang sedang menular ketika ini mencapai 25,700 pada hari Selasa, dan lebih 600,000 jangkitan dicatat.

Berjuta-juta orang Amerika kehilangan pekerjaan mereka, dan ekonomi Amerika Syarikat menjadi lumpuh, selain memberi bayangan harapan Trump untuk dipilih semula pada bulan November.

WHO adalah agensi khusus PBB - badan antarabangsa bebas yang bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jurucakap Setiausaha Jeneral PBB Antonio Guterres enggan memberi komen berhubung pengumuman yang dibuat Trump itu.

WHO telah memohon dana lebih dari AS$1 bilion untuk membiayai operasi menentang wabak tersebut ketika ini dan badan itu memerlukan lebih banyak sumber.