Skip to main
Logo Malaysiakini

Label dirinya keterlaluan, Saravanan mahu hubungi Ramasamy

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata bahawa beliau akan menghubungi Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy susulan dakwaan "keterlaluan" yang dilemparkan oleh pemimpin DAP itu.

Ramasamy membuat dakwaan itu ketika mengulas pelantikan pengasas My Events International, Shahul Hameed Dawood, sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baru Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

"Saya akan hubungi profesor (Ramasamy) dan menjelaskan kepada dia.

"Mungkin dia tidak faham beberapa perkara secara menyeluruh. Saya akan menjelaskan kepadanya," kata Saravanan ketika dihubungi.

Pemimpin MIC itu mengulas kenyataan Ramasamy yang mempersoalkan pelantikan Shahul Hameed.

"Walaupun saya seorang berbangsa India, HRDF bukan hanya milik kaum India sahaja.

"Ia untuk semua bangsa Malaysia. Semua kaum menyumbang kepada HRDF.

"Jadi, saya perlu pastikan HRDF diwakili semua bangsa," katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa veteran DAP itu mempersoalkan keputusan pelantikan Shahul Hameed yang digambarkan sebagai pengikut setia pendakwah Islam, Dr Zakir Naik.

Zakir dilarang memberi sebarang ceramah di Malaysia susulan beberapa kenyataan kontroversial yang dibuatnya yang dianggap sebagai "rasis", walaupun pendakwah itu menolak dakwaan tersebut.

Ramasamy berkata walaupun terdapat larangan ke atas Zakir, Shahul Hameed adalah individu yang memohon kepada polis untuk membenarkan pendakwah itu meneruskan kuliahnya mengenai perbandingan agama.

My Events International dikatakan pernah menguruskan beberapa penganjuran majlis berprofil tinggi termasuk siri ceramah menampilkan Dr Zakir pada 2016.

Ketika itu, Shahul Hameed dikatakan terlibat dengan pihak berkuasa - termasuk ketua polis negara ketika itu, Khalid Abu Bakar - yang menyaksikan penampilan Zakir sebagai penceramah di Melaka.

Bagaimanapun, Saravanan sebelum ini mempertahankan pelantikan Shahul Hameed atas kapasiti bahawa beliau adalah cucu SOK Ubaidullah Kadir Basha.

Ubaidullah adalah salah seorang pengasas MIC pada tahun 1946, dan pernah menjadi naib presiden parti itu dan kemudiannya dilantik sebagai pengerusi tetap.

Saravanan juga pernah mengatakan bahawa Ubaidullah adalah "orang yang terkenal, banyak menyumbang kepada masyarakat India di negara ini."

Beliau juga dilaporkan berkata, bahawa MIC memutuskan melantik Shahul sebagai mengenang sumbangan datuknya.