Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita Mongolia lapor kes rogol libatkan polis kini di rumah perlindungan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata tiga wanita yang mendakwa seorang polis atas kesalahan rogol dianggap sebagai mangsa, bukannya suspek.

Mengulas susulan penahanan mereka, beliau berkata ketiga-tiga mereka kini diletakkan di rumah perlindungan untuk keselamatan mereka.

“Mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), mereka ini mangsa.

“Kita bukan tahan (mereka) di lokap tapi (ditempatkan) di rumah perlindungan,” katanya ketika sidang media di Kuala Lumpur tengah hari ini.

Selepas siasatan di bawah Atipsom selesai, katanya, mahkamah akan meletakkan mereka di bawah arahan perlindungan sementara (IPO).

Huzir turut memaklumkan tiga wanita itu, termasuk dua lagi wanita yang didakwa menjadi mangsa rogol anggota polis terbabit, telah tinggal melebihi tempoh di Malaysia.

“Jabatan Imigresen boleh halau tetapi dalam tempoh PKP (perintah kawalan pergerakan)...Penerbangan pun tidak ada, banyak isu,” katanya lagi.

Menurut peguam tiga wanita tersebut, Mathew Thomas Philip, mereka tampil mendedahkan kejadian rogol dua rakan sewarganegara mereka yang disyaki dilakukan oleh seorang inspektor polis.

Pada 11 April lalu, polis dilaporkan menahan seorang inspektor dalam satu sekatan jalan raya di Petaling Jaya, selepas disyaki terlibat dalam kes itu.

Pihak peguam dijangka akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah perlindungan sementara, yang mengekang pergerakan ketiga-tiga wanita itu.

Philip berkata anak guamnya merasakan perintah itu tidak perlu untuk keselamatan mereka, dan mahu pulang ke kampung halaman mereka.

Sementara itu, Huzir memaklumkan inspekor polis itu telah direman untuk lima hari dan siasatan masih berjalan.