Skip to main
Logo Malaysiakini

Kesatuan guru Muslim saran KPM wujud skim wakaf telefon pintar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) menggesa pihak kerajaan mewujudkan skim Wakaf Telefon Pintar untuk murid-murid yang kurang berkemampuan, selain meningkatkan capaian internet bagi memudahkan urusan pembelajaran mereka berjalan lancar.

Presidennya, Azizee Hassan, berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga harus mempertimbangkan langkah menghantar guru-guru berkeupayaan ke kawasan pedalaman atau luar bandar yang jauh dari akses internet.

Menurut beliau tidak semua pelajar mampu memiliki telefon pintar bagi membolehkan pembelajaran secara maya dibuat.

Untuk rekod, buat masa ini, sebahagian pelajar mengikuti pembelajaran dari rumah menggunakan capaian internet.

“Semua guru wajar mengoptimumkan pelbagai medium pengajaran dalam talian dan kaedah komunikasi agar murid-murid di kawasan tersebut tidak tercicir.

“Kami juga meminta KPM meningkatkan penggunaan TV Pendidikan serta penjenamaan semula radio pendidikan agar lebih interaktif dan boleh ditampung keperluan pelajar di pendalaman,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu Azizee ditanya mengenai keputusan KPM membatalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun ini ekoran ancaman wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang masih berlanjutan.

Selain itu KPM mengumumkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) and Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan ditangguhkan ke suku pertama 2021.

Bagi calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), peperiksaan semester dua ditangguh ke Ogos 2020, manakala peperiksaan semester tiga ditangguh ke suku pertama 2021.

Kata Azizee, dalam keadaan sekarang - ketika sekolah masih lagi ditutup dan dijangka akan kekal begitu untuk tempoh yang belum dipastikan - KPM perlu mencari penyelesaian baru mengenai kaedah pentaksiran yang bersesuaian, holistik dan mudah untuk pelajar terbabit meneruskan pengajian.

“Pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk pelajar SPM dan STPM kembali ke sekolah juga harus ditetapkan oleh KPM, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hassan, turut menyambut baik pengumuman yang disampaikan KPM sepanjang PKP dan penyusunan sesi pembelajaran semasa dan akan datang.

“Langkah keselamatan, kesihatan, kesejahteraan, kebersihan dan kesiapsediaan murid serta warga pendidik haruslah diutamakan dalam hal ini.

“Kaedah baru bagi menggantikan UPSR dan PT3 juga haruslah lebih baik dari segi penilaian, terutamanya isu akses kepada pelajar luar bandar, pinggir bandar dan pedalaman.

“Penilaian kepada pelajar seharusnya tidak mementingkan pencapaian akademik semata-mata tetapi akses bermutu kepada mereka,” katanya kepada Malaysiakini.