Skip to main
Logo Malaysiakini

'Merayau' membuat kebaikan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Berpuluh-puluh penghantar makanan berkumpul di luar sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya, Selangor.

Mereka di situ bukan kerana terdapat restoran terkenal di pusat membeli-belah itu atau disebabkan banyaknya permintaan untuk menghantar makanan akibat perintah kawalan pergerakan (PKD).

Sebaliknya, mereka sedang bersiap sedia mengagihkan makanan percuma kepada golongan miskin di Kuala Lumpur serta gelandangan yang tidak dapat dipindahkan ke pusat perlindungan oleh DBKL.

Semuanya bermula bulan lalu apabila penunggang Foodpanda, Mohd Firdaus Abd Hamidm, yang prihatin terhadap petugas barisan hadapan dan mereka yang memerlukan, mula mengumpul sedikit wang daripada penunggang Foodpanda lain melalui kumpulan WhatsApp mereka.

"Kami berjaya kumpul RM615 dalam masa empat jam, ada yang derma RM5, ada yang derma RM10, dan ada yang menderma lebih," kata Firdaus kepada Malaysiakini.

Penghantaran pertama mereka dibuat pada 18 Mac, iaitu hari pertama PKP mula dikuatkuasakan. Mereka menghantar lebih 100 bungkus makanan percuma untuk barisan hadapan hari itu.

Kerja amal yang dilakukan Firdaus dan rakan-rakannya kemudian mendapat perhatian yang lain.

Bergabung tenaga

Penghantar Grabfood Mohamad Amer Rezwan Jamil baru sahaja selesai menghantar makanan apabila dia melihat sekumpulan penunggang Foodpanda menyampaikan bantuan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya pada hari-hari awal PKP.

Dengan perasaan ingin tahu, Amer mendekati kumpulan itu, dan tidak lama kemudian penunggang dari syarikat yang bersaing sesama sendiri itu bekerjasama melakukan kerja-kerja amal.

Malaysiakini bertemu penunggang berkenaan pada 10 April, yang terdiri daripada seramai 19 penghantar GrabFood dan 16 penghantar foodpanda.

Pada masa ini, mereka beralih daripada membantu petugas barisan hadapan kepada membantu golongan yang hidup melarat di Kuala Lumpur pada setiap Jumaat.

 Firdaus menjelaskan ini kerana sebelum PKP, sebahagian besar mereka yang beragama Islam bercuti atau tidak menghantar makanan pada waktu itu supaya boleh menunaikan solat Jumaat.

Disebabkan solat Jumaat dibatalkan semasa PKP, Firdaus berkata kebanyakan penghantar makanan bebas untuk melakukan kerja-kerja amal pada hari itu.

"Kami merancang untuk melakukan ini setiap hari Jumaat sehingga hujung PKP," kata Amer.

Kumpulan ini tidak memiliki senarai ahli ataupun akaun bank rasmi. Semuanya atas dasar saling mempercayai antara satu sama lain.

Amer berkata penghantar GrabFood dalam kumpulan itu akan memasukkan wang ke akaun peribadinya, dan dia kemudian akan memindahkan jumlah tertentu kepada Firdaus setiap minggu.

"Setakat ini penghantar GrabFood telah menyumbangkan kira-kira RM700, dan kami membelanjakan RM300 hari ini, dan jumlah baki akan digunakan dalam minggu yang berikutnya," katanya.

Selain menghantar makanan yang dimasak, mereka juga menyumbangkan barangan runcit kepada mereka yang memerlukan.

Lebih banyak makanan disumbangkan

Pada mulanya, kumpulan itu hanya menghantar kira-kira 150 bungkus makanan, tetapi pada 10 April jumlah itu meningkat kepada 600 bungkus untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Sebahagian makanan yang disumbangkan dimasak di rumah oleh beberapa penghantar makanan dan ahli keluarga mereka.

 Irfan (atas) dan adiknya adalah penghantar GrabFood. 

Walaupun lelaki berusia 28 tahun ini tidak menyumbangkan wang, keluarganya menghabiskan masa berjam-jam menyediakan 54 bungkus makanan untuk ditambah kepada 600 bungkus pada hari Jumaat.

"Isteri saya, ayah dan ibu saya telah membantu untuk sediakan makanan ini," kata Irfan sambil menunjukkan makanan yang disusun di motosikalnya.

"Kami mula memasak dari 9.00 malam tadi (9 April) sehingga kira-kira 2 atau 3 pagi ini, dan kami bawa makanan kira-kira jam 5.00 pagi. Kami buat roti Arab, kari ayam, sardin dan beberapa sayur-sayuran," katanya.

Memasak sendiri di rumah adalah salah satu cara untuk membantu dalam menjayakan misi mereka selain mendapatkan wang tunai.

Bino, pemilik sebuah syarikat sewa motosikal di Sungai Way, menawarkan cucian motosikal kepada mereka dengan bayaran hanya RM1.

Pemilik perniagaan kecil itu merupakan penghantar sambilan sebelum PKP dan kini melakukannya sepenuh masa selepas perniagaannya terjejas akibat PKP.

 Sementara itu, penghantar makanan Foodpanda berusia 25 tahun, Yanni (atas) membantu membawa makanan dengan kereta miliknya.

Pelajar sambilan itu baru sahaja menyertai foodpanda apabila PKP bermula pada pertengahan bulan Mac dan tidak sedar tentang projek amal itu sehinggalah minggu lepas.

"Saya rasa saya boleh bantu untuk bawa (makanan) dengan kereta saya," katanya.

"Kita tahu barisan hadapan ada banyak sumber sekarang, ada banyak sumbangan untuk mereka. Tapi bagi gelandangan di bandar, siapa akan bantu mereka?"

"Jadi, kita nak gunakan kesempatan ini untuk menyumbang apa yang kita boleh, ini yang saya faham mengenai inisiatif ini," tambah Yanni.

 Disangka mahu mogok

Setelah PKP bermula bulan lalu, usaha dilakukan oleh DBKL untuk menempatkan mereka di tempat perlindungan sementara.

Bagaimanapun, Malaysiakini mendapati tidak semua gelandangan dipindahkan, dan masih ramai yang tinggal di sekitar jalan-jalan di ibu kota.

Banyak kumpulan masyarakat sivil bergerak untuk membantu mereka yang terpinggir dan memerlukan bantuan sejak PKP dikuatkuasakan.

Namun, kerajaan menetapkan garis panduan baru awal bulan ini yang mewajibkan sukarelawan mendaftar dan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Firdaus, Amer dan penghantar makanan yang lain, bagaimanapun belum berbuat demikian.

Ini kerana penghantar makanan dianggap sebagai "perkhidmatan penting" dan mereka dibenarkan berada di jalan semasa bekerja.

Ketika Malaysiakini bersama mereka Jumaat lalu, kereta yang membawa beratus-ratus bungkusan makanan tersekat oleh sekatan jalan raya, menyebabkan mereka berkeliaran di luar pusat membeli-belah di mana mereka berkumpul selama lebih satu jam.

Firdaus memberitahu Malaysiakini, ia menimbulkan salah faham yang menyebabkan pihak pengurusan pusat membeli itu melaporkan kepada polis kerana mereka menyangka mereka melakukan mogok.

Empat pegawai polis kemudian tiba dan meminta mereka segera bersurai.

Sementara Firdaus dan Amer berusaha menjelaskan keadaan itu kepada polis, penghantar lain dalam kumpulan itu mula memuatkan makanan yang baru tiba ke atas motosikal mereka dan berlalu pergi.

Para penghantar makananan berkenaan kemudian berkumpul di tepi jalan untuk berbincang sebelum berpecah kepada dua pasukan yang lebih kecil untuk mengedarkan makanan.

Hantar bantuan tanpa alamat

Berbanding kebiasaannya yang sentiasa sibuk, pusat bandaraya Kuala Lumpur lengang pada Jumaat petang itu sehingga suasana sunyi terganggu oleh bunyi motosikal penghantar makanan.

Mereka tidak mempunyai senarai alamat tetapi kumpulan itu tahu ke mana harus mencari gelandangan dan golongan yang memerlukan pertolongan mereka - perhentian bas, di kaki lima kedai tertentu dan di lorong-lorong.

Pengalaman itu diperoleh hasil daripada berkeliaran di ibu kota selama beberapa hari ketika membuat penghantaran.

 [Baca berita asal]