Skip to main
Logo Malaysiakini

'Di Palestin, setiap hari macam PKP'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ramai daripada rakyat Malaysia berasa tidak selesa apabila berkurung di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), namun keadaan seperti itu perkara biasa bagi rakyat Palestin yang ditindas di bawah rejim Israel.

Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran berkata hak asasi rakyat Palestin telah lama dinafikan oleh kerajaan Israel.

“Sebenarnya untuk orang Palestin, sekatan pergerakan bukanlah sesuatu yang baru. Kebanyakan rakyat Palestin membesar di bawah perintah berkurung Israel di mana ia adalah lagi teruk daripada PKP.

"Apa yang anda alami sekarang adalah nostalgia bagi kami,” kata Muslim dalam satu siaran Facebook secara langsung bersama anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Lahir di Kota Hebron, Muslim berkata walaupun kampung halamannya hanya 30 kilometer daripada Baitulmaqdis, regim Israel menyekat rakyat Palestin daripada bersembahyang di Masjid Al-Aqsa.

“Memang kampung saya hanya 30 minit perjalanan ke Baitulmaqdis...tetapi kebanyakan rakyat bawah 50 tahun akan diusir balik kerana mereka perlu permit daripada Israel walaupun mereka hanya nak sembahyang atau menjalankan perniagaan...”

“Tebing Barat dan Gaza tidak dapat bekalan elektrik 24 jam sehari kerana sekatan regim Israel atas bahan api dan petrol," katanya kesal.

Beliau berkata regim Israel melucutkan hak mereka untuk hidup aman dan damai di tanah air sendiri dengan memaksa Palestin bersetuju dengan pelan “damai” yang hanya berpihak kepada Israel.

“Mereka memaksa kami tandatangan perjanjian yang tidak menyokong hak asasi, jika kami membangkang maka kami dilabel sebagai pengganas.”

Justeru, Muslim berterima kasih kepada Sim yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan kerana menyokong sekatan terhadap atlet Israel bertanding di kejohanan renang para dunia yang sepatutnya berlangsung di Kuching, Sarawak pada Ogos tahun lalu.

“Saya memang terima kasih atas sokongan anda. Semasa berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan, anda adalah orang pertama yang membangkitkan isu atlet Israel. Ia amat bermakna untuk Palestin.

“Ada orang kata jangan politikkan sukan. Tetapi percayalah, segala telah dipolitikkan dalam isu perjuangan Palestin. Atlet kami ditembak mati di sini, ada dipenjara kerana sekatan Israel.”

Mengulas isu sama, Sim berkata ahli politik di Malaysia sering mentafsirkan isu Palestin hanyalah isu mengenai satu kaum atau agama, sedangkan hakikatnya tidak begitu.

“Orang politik selalunya mengelirukan kita seakan-akan ini adalah satu isu untuk satu kaum ataupun isu ini adalah semata-mata untuk satu agama. Tetapi ia bukan.

“Ini adalah isu kemanusiaan dan kita setuju bahawa tokoh dunia yang menyokong isu palestin ialah Nelson Mandela yang bukan seorang Islam atau Arab tetapi Nelson sokong isu Palestin hingga ke nafas terakhir kerana beliau ada pengalaman ditindas di bawah regim aparteid dan perkauman,” jelasnya.

Pada Feb lalu, Sim menulis sebuah rencana mengenai Palestin dengan menegaskan ia bukan sahaja isu orang Islam tetapi merupakan isu kemanusiaan.

"Saya sering memberitahu sahabat-sahabat Palestin bahawa kepelbagaian agama dan kaum di Malaysia membekalkan pentas terbaik untuk menjadikan perjuangan rakyat Palestin ini sebagai perjuangan manusia sejagat dan bukan sahaja terhad dalam perjuangan orang Islam," katanya.