'Naifnya Haniza bandingkan jumpa Azmin dengan pertemuan Anwar-PM'
Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyifatkan tindakan Haniza Talha untuk membandingkan pertemuannya dengan bekas pemimpin parti itu, Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin dengan pertemuan Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, sebagai naif.
Farhash berkata pertemuan Haniza, yang merupakan ketua wanita PKR, dengan Azmin dan Zuraida dibuat dalam tempoh sekitar 'langkah Sheraton' yang menyaksikan tumbangnya kerajaan PH, sedangkan Anwar bertemu Muhyiddin atas kapasitinya sebagai ketua pembangkang.
"Anwar telah diajak oleh perdana menteri untuk memberi pandangan dalam langkah-langkah menangani wabak covid-19 di samping menyentuh beberapa isu berkenaan kepentingan masa depan negara.
"Rakyat masih bimbang akan masa depan mereka dan presiden kita telah mengenepikan perbezaan politik dalam waktu getir. Ini soal masa depan negara dan bukannya kepentingan politik diri.
"Agak naif bagi Haniza untuk membandingkan serta mempersoal pertemuan presiden dengan perdana menteri atas kapasiti beliau sebagai ketua pembangkang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Haniza berkata keahliannya dalam PKR digantung sementara menunggu siasatan lembaga disiplin parti itu ekoran tindakannya bertemua dengan Azmin dan Zuraida.
Bagaimanapun beliau berkata surat yang diterimanya tidak menyatakan secara khusus tentang pertemuan itu, termasuk tarikh ia berlaku.
Beliau juga mempersoalkan tindakan itu dengan membangkitkan pertemuan antara Anwar dan Muhyiddin di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, dua hari lalu, yang dilaporkan berlangsung selama 45 minit.
"Zuraida dan Azmin berada dalam parti yang sama seperti perdana menteri. Mengapa saya tidak boleh bertemu dengan Zuraida dan Azmin tetapi presiden boleh bertemu dengan Muhyiddin. Apa ni?" katanya kepada Malaysiakini.
Mengulas penggangtungan Haniza, Farhash yang juga setiausaha politik Anwar berkata tindakan disiplin yang diambil PKR itu tidak mengejutkan.
Beliau berkata, ini kerana peremuannya dengan Azmin dan Zuraida - yang telah menyertai Bersatu - adalah pengkhiatan besar terhadap PKR.
"Kita tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang pengkhianatan mandat pengundi di PRU ke-14 yang lalu," katanya.
Haniza yang juga exco Selangor, memenangi jawatan ketua Wanita PKR pada pemilihan parti 2018.
Selain beliau , antara pemimpin lain yang sebelum ini dilihat menyokong Azmin yang turut dikenakan tindakan.
Naib Presiden Tian Chua menerima surat tunjuk sebab manakala Naib Ketua AMK Mohd Nazree Mohd Yunus dan Ketua Penerangan Wanita Syarul Ema Rena Abu Samah, ataupun lebih dikenali sebagi Ratu Naga, pula dipecat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai