Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Mod digital sekolah gagal, duit beli makanan bukan data internet’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menyifatkan sistem persekolahan melalui mod digital gagal berfungsi dengan sistematik ketika negara berdepan penularan pandemik wabak Covid-19.

Oleh itu katanya, sistem penyampaian kerajaan mesti segera berganjak ke persada digital secara total selaras dengan tuntutan semasa.

"Lihat sahaja bagaimana sistem persekolahan kita yang gagal beroperasi dengan mod digital secara sistematik dan ‘seamless’ dalam waktu pandemik sebegini.

"Banyak sekali masa pembelajaran terbuang. Menghantar tugasan melalui WhatsApp ataupun email bukan pembelajaran 'online' (secara dalam talian).

"Apatah lagi bila ramai ibu bapa terpaksa mengutamakan wang untuk membeli makanan daripada data Internet, kerana kesusahan hidup dan tarif data yang mahal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Oleh itu kata Mohamad ataupun lebih dikenali sebagai Mad Hasan adalah sangat penting untuk Kementerian Pelajaran (KPM) memberikan penjelasan bagaimana urusan persekolahan harus beroperasi secara produktif dari sekarang jika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Sesi persekolahan di negara terjejas sejak 18 Mac lalu apabila kerajaan mengumumkan pelaksanakaan PKP bagi memutsukan rangkaian Covid-19.

Fasal pertama PKP pada awalnya dijangka akan berakhir pada 31 Mac kemudiannya disambung sehingga 28 April.

Semalam, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin mengumumkan pembatalan Ujian Pencapain Sekolah Rendah (UPSR) dan pentaksiaran tingkatan 3 (PT3).

Ketika mengumumkan perkara itu, Radzi berkata proses pengajaran pembelajaran masih berlaku seperti biasa ketika musim PKP melalui secara dalam talian.

Bagaimanapun beliau mengakui terdapat sedikit kekangan berhubung capaian internet dan kekuarangan alat peranti di kalangan murid-murid khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman.

Mohamad dalam pada itu mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan bagi meningkatkan penguasaan digital di negara ini.

Beliau mencadangkan kerajaan meluaskan prasarana rangkaian internet terutamanya kepada kawasan "unserved" dan "underserved" bagi memastikan segala jurang ini harus ditutup segera.

"Kerajaan wajar mempertimbangkan penubuhan syarikat penyedia perkhidmatan Internet dengan tujahan inovasi dalam penyediaan perkhidmatan Internet khusus kawasan luar bandar.

"Penyediaan satu pelantar digital berpusat dan terpadu, yang membolehkan segala urusan bersama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dilakukan secara 'online" dalam satu portal, akaun, sistem atau saluran, tidak boleh lagi tertangguh.

"Kita mesti membuka seluas-luasnya ruang persaingan untuk penyediaan pelbagai perkhidmatan jalur lebar. Hanya melalui persaingan, tarif data akan menjadi lebih murah dan kompetitif," katanya.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata sistem penyampaian kerajaan mesti kalis krisis dan tidak boleh dilumpuhkan.

Menurutnya, tranformasi kepada kerajaan digital secara total adalah tindakan radikal yang Malaysia sangat perlukan.