Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih 30k tandangan petisyen, Habib Ali kata ramai lagi layak

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mufti Wilayah mestilah individu berpegang kepada ASWJ, kata Habib Ali

Pendakwah bebas, Habib Ali Zaenal Abedin al-Hamid yakin negara mempunyai ramai ilmuan yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) layak untuk memikul tanggungjawab sebagai mufti Wilayah Persekutuan.

Habib Ali berkata beliau sedar mengenai kewujudan satu petisyen - kini ditandatangani lebih 33,000 orang - yang mencadangkan agar beliau dilantik ke jawatan itu.

Pengerusi Yayasan Ar Ri'ayah itu berkata, petisyen sokongan itu bukan untuknya, sebaliknya untuk agama dan negara Malaysia.

"Saya turut yakin petisyen ini bukan untuk saya, namun ia untuk agama dan negara Malaysia.

"Namun, saya yakin bahawa terdapat lebih banyak ilmuan yang lebih layak dan pakar dalam bidang fikah dan usul fikah.

"Ini kerana tanggungjawan di jabatan mufti itu lebih merujuk kepada bidang hukum hakam yang perlu dibahasakan secara terperinci," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, tersebar satu petisyen yang tular di media sosial, cadangan supaya Habib Ali dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baru menggantikan Zulkifli Mohamad yang dilantik sebagai menteri agama.

Zulkifli Mohamad 

Zulkifli memegang jawatan itu mulai Jun 2014, sebelum dilantik menyertai kabinet Muhyiddin Yassin dalam kerajaan baru Perikatan Nasional (PN).

Zulkifli mencipta sejarah sebagai mufti pertama yang diangkat sebagai menteri.

Sementara itu, Habib Ali berkata siapa saja yang dilantik sebagai mufti Wilayah Persekutuan haruslah daripada individu berpegang kepada akidah ASWJ berpandukan kepada Imam Abu al-Hasan al-Ash'ari.

Selain itu haruslah berpegang kepada Mazhab Syafie yang menjadi landasan kepada hukum hakam di negara ini.

"Ilmuan tersebut perlu arif dalam bidang fatwa, berpegang kepada ASWJ berpandukan kepada Imam Abu al-Hasan al- Ash'ari dan berpegang kepada Mazhab Syafie.

"Inilah yang menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia, bahawa orang yang dipilih mempunyai kelayakan tersebut," katanya.

Habib Ali adalah pendakwah bebas yang popular dan sering menyampaikan ceramah agama baik di televisyen mahupun radio.

Penulis pelbagai buku agama itu sering diundang bagi program-program selawat perdana dan Qasidah termasuk anjuran agensi-agensi kerajaan.