Skip to main
Logo Malaysiakini

Esquel tutup kilang pakaian di Pulau Pinang, Kelantan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kilang pakaian Esquel Malaysia (EGM) yang telah beroperasi sejak lima dekad lalu dengan kekuatan tenaga kerja kira-kira 2,000 akan menghentikan operasinya di Pulau Pinang dan Kelantan menjelang 12 Jun.

Penutupan tersebut disahkan oleh Pegawai Khas Pelaburan khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang,, Lee Kah Choon dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM).

Menurut sumber syarikat, pekerja EGM telah diberitahu mengenai penutupan itu oleh pengurus besar, Edward Ho, melalui surat bertarikh 15 April.

Kilang EGM Pulau Pinang dan Kelantan dijangka beroperasi seketika bermula dari 29 April hingga 12 Jun, setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir pada 28 April, kata sumber itu.

Ketika dihubungi, ketua FMM Pulau Pinang Ooi Eng Hock berkata, keadaan industri itu tidak "memberangsangkan" kerana kesan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

Katanya, EGM adalah antara syarikat awal yang dilanda teruk dengan keadaan semasa.

Ooi berkata sektor pembuatan perlu bersiap sedia menghadapi keadaan lebih parah akibat kesan PKP yang telah melumpuhkan banyak sektor, termasuk yang berkaitan atau menyokong sesuatu industri.

Oleh kerana keadaan mungkin berubah menjadi lebih buruk dalam beberapa bulan akan datang, Ooi mendesak kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan untuk melancarkan pakej rangsangan tambahan.

EGM ditubuhkan pada tahun 1966 di China, dan dikenali sebagai pengeluar kemeja kapas berjenama terkemuka di dunia seperti Hugo Boss, Burberry, Lacoste, Tommy Hilfiger dan Nautica,

Kakitangan EGM di Pulau Pinang berjumlah 500 orang rakyat tempatan manakala 900 lagi adalah pekerja asing. Sementara kilangnya di Kelantan mempunyai 800 pekerja yang semua mereka adalah penduduk tempatan.

Pihak syarikat juga dilaporkan bersetuju membayar sebarang gaji yang tertunggak berserta faedah penamatan pekerjaan, mengikut polisi-polisi syarikat dan sejajar dengan Akta Kerja dan Peraturan-Peraturan Kerja Malaysia.

[Baca berita penuh]