Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR: Pelantikan ketua GLC semasa Covid-19 tambah resah rakyat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Langkah Perikatan Nasional (PN) terus membuat pelantikan jawatan agensi negara dan syarikat berkaitan kerajaan sebenarnya menambah kebimbangan sedia ada rakyat, kata Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail.

Menurut beliau jika sebelum ini rakyat dibebani dengan perasaan bimbang akan perihal penyakit berjangkit Covid-19, hari ini mereka berasa lebih khuatir dengan tindakan kerajaan berkenaan membuat pelantikan dalam kalangan wakil rakyat.

Katanya, tindakan itu jelas memperlihatkan PN seolah-olah kehabisan idea sehingga tidak dapat membezakan hal yang menjadi keutamaan negara dan rakyat, seperti isu pendapatan isi rumah.

"Pendekatan yang diambil oleh kerajaan (dengan melantik) kebanyakan menteri PAS dalam GLC dan sebagainya... seolah-olah mereka ini tidak ada idea untuk ditumpukan dalam waktu perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Sebab itu saya berasakan kebanyakan orang dah mula bimbang. Dulu bimbangkan jangkitan penyakit, kemudian merasa bimbang terhadap struktur sosial kerana anak tidak bersekolah, kebimbangan terhadap pendapatan isi rumah, kuasa beli rakyat, kemampuan berbelanja.

"Sekarang ini dah masuk kepada keadaan bimbang terhadap menteri-menteri dan kepimpinan yang diletakkan untuk menguruskan negara tetapi menyuarakan pandangan-pandangan pelik, tidak bersesuaian dengan suasana bencana semasa yang kita alami sekarang ini," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu Azan ditanya mengenai kenyataan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, bahawa negara akan terus memberi penekanan atas pembangunan industri buluh sebagai game changer dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Rasa nak main meriam

Khairuddin dalam satu kenyataan media berkata saiz pasaran global bagi produk buluh dianggarkan berjumlah AS$68 bilion (RM295 bilion) pada 2018.

Pada 12 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, memberitahu semua anggota parlimen kerajaan persekutuan yang tidak dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri akan dilantik mempengerusikan GLC.

Lantikan itu mendapat kritikan sesetengah pihak, antaranya bekas menteri kanan Umno, Rafidah Aziz.

Mengulas lanjut, Azan berkata kerajaan hari ini sepatutnya meredakan keresahan rakyat ekoran penularan virus Covid-19, namun, katanya, apa yang berlaku jelas berbeza.

"Pemimpin PAS yang dilantik di peringkat nasional sebagai menteri serta lain-lain ini, semuanya amat berbeza kalau dibandingkan dengan zaman PAS pernah bersama dalam kerajaan awal 1970-an dulu.

"Mereka ketika itu banyak menumpukan kepada bidang yang mereka mahir seperti menguruskan negara dalam pembangunan agama pada masa itu, memberi nasihat dan pandangan untuk kerajaan melaksanakan polisi-polisi yang berkait dengan hubungan kaum dan agama, mempertingkatkan lagi syiar Islam, bukan membawa idea yang menjadi bahan ketawa orang ramai," katanya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali

Mengulas penekanan kepada industri buluh, Azan berkata, keputusan Khairuddin mungkin dipengaruhi oleh nostalgia pemimpin PAS dari Terengganu itu.

"Saya rasa pemimpin PAS terutama menteri dari Terengganu, mereka mungkin terpengaruh dengan nostalgia dia dulu, bermain dengan buluh.

"Tambahan pula dah nak dekat dengan Ramadan ni, rasa nak main meriam buluh, pelita buluh.

"Jadi, perkara ini mempengaruhi dia untuk bernostalgia, bagi rasa seronok dengan buluh tapi pengalaman peribadi, keseronokan peribadi tak boleh diangkat sebagai agenda nasional negara," katanya.

Sebaliknya, kata Azan, apa yang perlu diberi keutamaan adalah memastikan bekalan makanan dalam negara mencukupi untuk semua ketika ia dijangka mengalami kesukaran pada Jun atau Julai nanti.

Katanya negara banyak bergantung kepada bahan import, justeru bekalan makanan asas di Malaysia mungkin mengalami mengalami yang sangat teruk.

"Sepatutnya menteri menyusun strategi untuk mengimbangi kekurangan bekalan makanan kepada rakyat," katanya.