Skip to main
Logo Malaysiakini

Hadi kena pantau pentadbiran PAS, kata Azan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PKR Terengganu hari ini meminta Presiden PAS Abdul Hadi Awang menunaikan komitmen untuk memantau pemimpin parti tersebut dalam menjalankan tugas sebagai kerajaan.

Pengerusinya Azan Ismail membangkitkan dakwaan ketidakadilan dalam pengagihan peruntukan pusat terhadap adun Umno di Terengganu, seperti yang disuarakan bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said sebagai contoh.

"Dulu saya ingat (dakwaan bantuan tak sama rata) khabar angin saja tapi betul-betul sahih apabila ia disahkan sendiri oleh Ahmad Said.

"Saya harap insiden yang berlaku di Terengganu berkenaan ketidakadilan dalam peruntukan ini sebagai contoh agar mereka melihat kembali dan meneliti keberkesanan mereka (kerajaan negeri dalam menunaikan tanggungjawab).

"Apatah lagi Haji Hadi kata beliau akan memantau peranan menteri-menteri PAS ini. Jadi adakah pemantauan ini tidak dibuat?" soalnya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Ahmad, yang juga pengerusi Umno Terengganu dan adun Kijal, mendakwa kerajaan negeri tidak mengagihkan peruntukan pusat berjumlah RM10 juta untuk mendepani krisis Covid-19, kepada wakil rakyat mereka.

Menurut Ahmad yang juga pengerusi Umno Terengganu, wakil rakyat parti itu hanya menerima RM45,000 di peringkat awal, berbanding wakil rakyat PAS yang menerima RM350,000 dan pegawai penyelaras DUN PAS - yang ditugaskan di kawasan parti itu kalah - sebanyak RM305,000.

"Dia kata dah bagi RM45,000. Itu kita tak dipertikaikan, RM45,000 itu awal lagi kerajaan negeri bagi, tapi masalahnya sekarang RM10 juta itu diberikan oleh kerajaan pusat. Kenapa tak bagi kita?" soalnya.

Ahmad Said

Seorang lagi bekas menteri besar Terengganu yang juga adun Seberang Takir, Ahmad Razif Abd Rahman mengesahkan perkara itu, dengan berkata beliau hanya menerima peruntukan berjumlah RM45,000 setakat ini.

DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN, dengan sepuluh daripadanya dikuasai Umno.

Ahmad Razif

Azan yang merupakan bekas Adun Bandar, berkata Abdul Hadi perlu memberi nasihat kepada pemimpin parti itu jika benar-benar telah memantau tugas mereka.

"Kalau memang dibuat (pemantauan), sepatutnya presiden PAS segera menasihatkan menteri-menterinya agar melihat semula apakah peranan mereka dalam masa kritikal ini berkesan untuk menaikkan imej PAS dalam kerajaan," katanya.

'Tak pernah dengar ketika zaman Wan Mokhtar'

Beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi selepas Umno Terengganu menyokong kerajaan negeri, susulan kerjasama dalam Muafakat Nasional.

"Adakah apabila bersama akan mendatangkan lebih masalah? Kalau dulu memang logik kalau ada masalah sebab berlainan (pihak dalam politik)," katanya lagi.

Pada 10 Mac lalu, sehari selepas pengumuman kabinet oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Abdul Hadi menjelaskan ketiadaannya dalam barisan jemaah menteri agar boleh memantau menteri dan timbalan menteri PAS dalam kerajaan.

Menurut Azan lagi, dakwaan ketidakadilan dalam agihan peruntukan itu menunjukkan perbezaan keadaan sekarang berbanding sewaktu PAS berada dalam kerajaan persekutuan pada dekad 70-an.

"Saya tak pernah dengar perkara ini berlaku ketika pentadbiran (bekas menteri besar Terengganu) Wan Mokhtar Wan Ahmad...Perbezaan (agihan) peruntukan yang teruk sangat.

"Ditambah pula dengan kerajaan PAS yang menerima royalti minyak...Saya fikir rakyat Terengganu pun rasa pelik," katanya lagi.