Skip to main
Logo Malaysiakini

Rakyat AS dakwa Trump terlalu lambat bertindak

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL l Presiden Donald Trump pada Khamis mendedahkan garis panduan untuk membuka semula sebahagian ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Pakar kami mengatakan lengkung jangkitan sudah mendatar dan puncak jangkitan sudah berlalu. Lebih 850 daerah atau hampir 30 peratus negeri tidak melaporkan kes baharu dalam tujuh hari terakhir," kata Trump pada sidang media di Rumah Putih.

"Berdasarkan data terbaru, pasukan pakar kami bersetuju kami boleh memulakan langkah seterusnya, apa yang kami gelar 'membuka semula Amerika,' dan itulah yang kami lakukan," katanya.

Trump berkata "lockdown bukanlah penyelesaian jangka panjang yang mampan dan lockdown berpanjangan, digabungkan dengan kemerosotan ekonomi akan menyebabkan kesusahan lebih besar."

"Justeru, pentadbiran saya mengeluarkan garis panduan persekutuan baharu membolehkan gabenor mengambil pendekatan berperingkat untuk membuka semula negeri masing-masing," kata presiden itu.

Antara kriteria untuk membuka semula ekonomi, termasuk setiap negeri atau wilayah perlu menunjukkan penurunan gejala Covid-19 dan kes positf dalam masa 14 hari dan hospital mempunyai kemampuan yang cukup untuk menangani semua kes jangkitan.

"Kami tidak membuka serentak tetapi berperingkat dan berhati-hati," kata Trump.

Garis panduan itu dikeluarkan selepas Federal Reserve pada Rabu mengatakan aktiviti ekonomi "menguncup secara mendadak" di semua wilayah di AS akibat pandemik Covid-19.

Jumlah kes di AS mencecah 660,000 pada Khamis petang dengan lebih 32,000 kematian, menurut Johns Hopkins University.

Sementara itu, AFP melaporkan hampir dua pertiga rakyat AS mengatakan Trump terlalu lambat mengambil langkah besar menangani ancaman pandemik coronavirus .

Berdasarkan tinjauan oleh Pusat Penyelidikan Pew, yang diterbitkan pada Khamis, 65 peratus mengatakan Trump lambat bertindak balas ketika kes penyakit Covid-19 kali pertama dilaporkan di negara lain.

Tinjauan Pew dilakukan pada 7 hingga 12 April lalu, menerusi responden daripada 4,917 rakyat dewasa Amerika.

Trump pada awalnya dikatakan kurang memberi perhatian mengenai isu virus itu, sebaliknya cuba mengakhiri pelaksanaan perintah berkurung yang akhirnya melumpuhkan ekonomi AS.

Hanya 52 peratus mengatakan kenyataan umum Trump mengenai wabak Covid-19 menjadikan keadaan kelihatan lebih baik daripada yang sebenarnya.

Tiga puluh sembilan peratus pula mengatakan bahawa Trump memberitahu keadaan sebenar situasi pandemik itu, manakala lapan peratus lagi mengatakan dia membuat keadaan kelihatan lebih buruk berbanding realitinya.