Skip to main
Logo Malaysiakini

FBI dakwa penggodam k’jaan asing sasar penyelidikan Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan
GLOBAL l Seorang pegawai kanan keselamatan siber di Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendakwa bahawa penggodam kerajaan asing telah memecah masuk syarikat yang menjalankan penyelidikan rawatan untuk Covid-19.

Timbalan Penolong Pengarah FBI Tonya Ugoretz memberitahu para peserta dalam perbincangan panel dalam talian yang dianjurkan oleh Aspen Institute bahawa biro itu baru-baru ini menyaksikan penggodam yang disokong oleh negara-negara tertentu mengelilingi rangkaian institusi kesihatan dan penyelidikan.

"Kita pasti ada lihat aktiviti pengintaian, dan pencerobohan, ke atas beberapa institusi tersebut, terutama institusi yang secara terbuka mengakui mereka terbabit dalam kerja-kerja penyelidikan berkaitan Covid-19," katanya.

Ugoretz berkata bahawa memang masuk akal bagi institusi yang bekerja mencari rawatan atau vaksin mengumumkan pekerjaan mereka secara terbuka.

Namun, dia berkata, "Yang paling menyedihkan adalah ini menjadikan mereka sebagai sasaran bagi negara-negara lain yang berminat untuk mengumpulkan maklumat mengenai apa sebenarnya yang mereka lakukan dan mungkin juga mencuri maklumat hak milik institusi-institusi tersebut."

Ugoretz berkata bahawa penggodam yang disokong oleh negara-neagar asing itu sering mensasarkan industri biofarmaseutikal tetapi mengatakan "itu pasti meningkat semasa krisis ini." Dia tidak menamakan sebarang negara tertentu atau mengenal pasti organisasi yang disasarkan itu.

FBI enggan mengulas. Jurucakap Pejabat Pengarah Perisikan Nasional juga tidak memberikan komen segera.

- Reuters

[Baca berita penuh]