Skip to main
Logo Malaysiakini

Penempatan sementara, bantuan makanan dan gelandangan KL

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

LAPORAN KHAS| Meskipun Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) telah menempatkan beratus gelandangan di pusat penempatan di tengah-tengah wabak Covid-19, ramai lagi yang tercicir dan harus bergantung ihsan daripada insan lain untuk mendapatkan makanan.

Tinjauan Malaysiakini mendapati lebih seratus gelandangan masih meneruskan kehidupan di jalanan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkusakan.

Mujurlah, ada pihak yang membantu golongan ini, seperti sekumpulan penghantar makanan yang berganding bahu menyumbang dan menghantar makanan kepada gelandangan dan golongan kurang bernasib baik dalam waktu PKP ini.

 Meskipun bekerja untuk syarikat pesaing, pasukan penghantar makanan itu mengumpulkan duit sesama mereka untuk merealisasikan usaha murni mereka itu. Ada kalanya, mereka menghantar makanan yang disediakan oleh keluarga mereka sendiri untuk disumbangkan.

“Masih ramai orang gelandangan di jalanan, kita boleh nampak DBKL tidak mempunyai kemampuan untuk mendapatkan mereka semua ini.

“Kami masih nampak mereka, terutamanya pada waktu pagi, tidur di jalan-jalan,” kongsi seorang penghantar makanan FoodPanda kepada Malaysiakini, yang hanya mahu dikenali sebagai Yanni.

Tahu mana nak cari mereka

Ketika Malaysiakini turut serta dalam misi bantuan penghantar makanan itu pada Jumaat minggu lalu, seorang penghantar makanan GrabFood, Effi, memberitahu, meskipun tidak mempunyai senarai tetap penerima sumbangan makanan itu, kebanyakan penghantar makanan itu sudah kenal lokasi-lokasi golongan gelandangan tersebut.

Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini, dianggarkan kira-kira lebih seratus gelandangan tampil bagi mendapatkan makanan ketika kumpulan penghantar makanan itu mengunjungi lokasi sekitar KL seperti Dataran Merdeka, Masjid Jamek, Jalan Tun Perak, di sepanjang River of Life, Petaling Street, dan Chow Kit.

 Ada yang bersendirian, ada yang dalam kumpulan kecil. Ada yang dilihat berbaring beralaskan kotak sambil berteduh di bawah pokok, ada yang tinggal di bawah jejambat, ada yang berteduh di bawah bumbung gerai yang ditutup kerana PKP.

 Bagaimanapun, bukanlah semua penerima sumbangan makanan itu merupakan gelandangan. Ada juga yang tergolong daripada orang miskin bandar atau pekerja seperti tukang cuci atau pengawal keselamatan.

 ‘Semua orang berhak mendapat keselamatan’

Meskipun jumlah besar gelandangan yang dapat dilihat semasa tinjauan, Malaysiakini dimaklumkan jumlah sebenar adalah jauh lebih rendah daripada itu.

Menurut pengasas Dapur Jalanan, Mohd Ezzuandi Ngadi, atau lebih dikenali sebagai Pak Wan, golongan yang menerima bantuan makanan di jalanan dalam beberapa minggu kebelakangan ini adalah berbeza dengan yang biasa dibantu oleh pasukannya.

Dapur Jalanan merupakan gerakan yang aktif membantu menyumbangkan makanan kepada golongan gelandangan di Kuala Lumpur sejak tujuh tahun lalu.

Menurut Ezzuandi, kebanyakan yang masih tinggal di jalanan adalah golongan tua, pekerja asing atau warga asing.

Katanya, setiap orang berhak untuk mendapat perlindungan di tengah-tengah penularan pandemik ini, justeru dia berharap agar DBKL dapat menyediakan kawasan penempatan buat golongan kurang bernasib baik.

“Dengan pandemik ini, semua orang perlukan tempat untuk berlindung, untuk rasa selamat. Kami harap usaha ini (penempatan sementera DBKL) akan dapat memerlahankan penularan virus itu dan lebih penting lagi, melindungi komuniti,” katanya.

Dari 26 Mac ke 31 Mac, DBKL menjalankan beberapa operasi bagi “menyelamatkan” gelandangan di bandar itu, antaranya menempatkan lebih 500 daripada mereka di dewan serba guna dan pusat komuniti.

Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob pada awal bulan lalu, berjanji untuk menyediakan makanan dan keperluan asas buat golongan gelandangan, dan berkata mereka tidak akan diabaikan.

‘Banyak hotel bajet kosong’

Sementara itu, pengasas Kedai Jalan Rusalina Idrus, memuji niat baik kerajaan dalam menyediakan penempatan sementara buat gelandangan, namun menekankan keperluan berbeza di kalangan mereka harus diambil kira memandangkan gelandangan turut mempunyai latar belakang yang pelbagai.

Katanya, ada gelandangan yang memerlukan bantuan kesihatan, ada yang merupakan pendatang asing, namun ada juga warganegara dari negeri lain atau kawasan pedalaman yang merantau ke Kuala Lumpur.

Kedai Jalanan ialah projek kedai yang menawarkan pakaian dan barangan terpakai kepada gelandangan dan miskin. Ia bertujuan mengangkat harga diri golongan itu dengan memberi peluang untuk penerima memilih sendiri barangan yang mereka perlukan, berbanding hanya menerima sahaja apa yang disumbangkan kepada mereka.

 Rusalina yang juga pensyarah kanan di Universiti Malaysia berkata, adalah penting untuk menitikberatkan harga diri penerima bantuan, dan berkata langkah menempatkan mereka di penempatan sementara tidak harus dilakukan seperti “menghimpunkan” mereka.

“Saya tertanya-tanya kenapa layanan berbeza diberikan kepada orang yang tidak punya rumah … Kamu tempatkan gelandangan di satu kawasan besar, itu bukanlah cara penempatan yang paling selamat.

“Ada banyak hotel bajet yang kosong di KL. Itu mungkin boleh menjadi salah satu pendekatan buat golongan itu,” katanya yang turut mencadangkan penggunaan unit rumah mikro sebagai alternatif menempatkan golongan itu.

DBKL sebelum ini melancarkan projek kemudahan rumah mikro buat golongan bujang daripada kelompok B40 dengan sewa RM100 sebulan.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan pada minggu lalu mengumumkan bahawa gelandangan yang ditempatkan di pusat penempatan sementara akan diberikan latihan dan peluang pekerjaan dalam bidang pengeluaran atau dengan DBKL.

Melangkaui PKP

Mereka yang berkeupayaan untuk bekerja akan dipindahkan ke asrama supaya tidak perlu terus hidup bergelandangan. Mereka juga dilaporkan akan memulakan pekerjaan pada 1 Mei, sekiranya tempoh PKP tidak dilanjutkan melepasi 28 April.

Mengulas hal ini, Rusalina memandangnya sebagai peluang yang baik untuk kerajaan membantu gelandangan memandangkan mereka sudah pun didaftarkan sebelum ditempatkan di pusat penempatan.

Tegasnya, ramai daripada golongan gelandangan dan kurang bernasib baik yang bukanlah “malas, dan hanya menunggu derma” seperti yang difikirkan oleh ramai orang.

“Baguslah kalau mereka (kerajaan) mahu berikan latihan bagi yang tiada pekerjaan, supaya mereka boleh ada sumber pendapatan. Malah, bukan semua gelandangan yang tak bekerja, ramai daripada mereka yang bekerja mengikut kemampuan masing-masing.

Katanya, ada yang mengangkat barang atau membantu restoran sekitar, tetapi tidak lagi boleh bekerja ekoran PKP.

Ketika Malaysia bergelut dengan krisis ekonomi dan kesihatan ekoran wabak Covid-19, ada kebimbangan disuarakan tentang nasib golongan kurang bernasib baik, terpinggir dan kumpulan minoriti.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan membayangkan langkah membantu golongan itu akan melangkaui pendekatan jangka pendek semata-mata.

Setakat 13 April, operasi menempatkan gelandangan di pusat penempatan sementara masih berjalan dengan lebih orang dibantu setakat ini, kata Nor Hisham ketika dihubungi.

“Kita dah bincang untuk membantu mereka dapatkan pekerjaaan supaya mereka boleh berdikari. Kita juga dah bincang untuk kaunseling bagi membantu keadaan mental mereka,” katanya yang menambah DBKL bekerja rapat dengan jabatan dan agensi lain dalam mencapai tujuan itu.

“DBKL bekerja dengan agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Buruh, Jabatan Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen.

“Kita ada rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang,” tambahnya lagi.

[Baca berita asal]