Skip to main
Logo Malaysiakini

MB perjelas kenapa peruntukan pada Adun BN kurang

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini tampil memberi penjelasan berhubung peruntukan RM45,000 yang disalurkan kerajaan negeri kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) BN.

Beliau berkata, bantuan RM10 juta yang asalnya salurkan kepada kerajaan negeri itu menjadi tidak sama rata kepada Adun BN kerana "missing link" dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) pada masa ini.

"Memahami keperluan dan tugasan yang perlu dijalankan oleh Adun, maka kerajaan negeri turut menyalurkan sebahagian bantuan Covid-19 sejumlah RM45,000 kepada Adun BN di negeri Terengganu untuk diuruskan.

"Sekali imbas cara yang paling ideal ialah bantuan diberikan secara sama rata pada semua Adun.

"Namun, terdapat missing link pada waktu ini antara Adun BN dengan MPKK, kerana model jawatankuasa komuniti kampung yang sedia ada pada waktu ini adalah model yang dibina sebelum pembentukan muafakat politik berlaku," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 15 April lalu, Umno Terengganu mendakwa kerajaan negeri tidak tidak mengagihkan peruntukan pusat bagi menangani penyebaran Covid-19 secara sama rata kepada wakilnya.

Ahmad Said 

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said berkata wakil rakyat Umno hanya mendapat peruntukan RM45,000, berbanding wakil rakyat lain berjumlah RM350,000.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) pula menerima RM305,000, kata Ahmad lagi.

"Di Perlis dan Pahang, peruntukan ini diagihkan sama rata sebab kita Perikatan Nasional tapi di Terengganu, tiada perbincangan tentang agihan.

"Sedangkan peruntukan sama rata akan diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan," kata Ahmad.

Samsuri berkata, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menyalurkan sumbangan melalui Pusat Khidmat DUN dan MPKK bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan segera dalam keadaan pergerakan yang terhad.

Dalam pada itu Samsuri berkata beliau menghormati Ahmad yang juga bekas menteri besar Terengganu dan menerima kritikan itu secara terbuka.

‘Ahmad boleh hubungi saya’

Walau bagaimanapun katanya, Ahmad sebenarnya boleh menghubunginya ataupun bertemu dengannya bagi mengemukakan pandangan berkenaan.

"Sebenarnya saya merasakan beliau boleh saja menghubungi saya atau bertemu untuk memberikan pandangan atau cadangan beliau.

"Saya yakin bahawa sekiranya berlaku penambahbaikan pada komposisi MPKK ini dengan mengambil kira wakil yang berbagai dalam masyarakat dan muafakat politik baru di peringkat nasional.

"Maka keadaan baru yang lebih inklusif ini boleh diurus supaya menjadi lebih baik dan harmoni di masa depan," katanya.