Skip to main
Logo Malaysiakini

MTUC bantah Perkeso tanggung kos saringan Covid-19

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membantah pengumuman Menteri Kanan (ekonomi), Azmin Ali agar Perkeso menanggung sepenuhnya kos saringan Covid-19 menerusi 3,000 panel kliniknya.

Presidennya, Abdul Halim Mansor berkata perkara tersebut tiada dinyatakan dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan perdana menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

"MTUC merasa kecewa dan membantah cadangan Azmin Ali untuk kerajaan membenarkan kos saringan ditanggung Perkeso.

"Persoalan Kos ini tidak didalam Pakej yang diumumkan oleh YAB PM. Kos anggaran (juga) tidak disebut," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Azmin yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri (Miti) berkata kementerian itu akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia melalui Perkeso, di mana pekerja diwajibkan menjalani saringan Covid-19.

Menurut Azmin, majikan yang memohon untuk beroperasi perlu memastikan pekerja menjalani saringan di lebih 3,000 klinik panel Perkeso di seluruh negara mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Azmin turut memaklumkan, Perkeso akan menanggung kos terbabit berdasarkan rekod pekerja yang sudah berdaftar dengannya sebelum ini.

Sementara itu, Abdul Halim berkata MTUC menerima pelbagai aduan, antara nya pekerja diarah datang bekerja, tiada peralatan kecemasan dibekalkan dan bekerja lebih masa.

"Tidak guna kita berusaha melawan Covid-19 selama ini apabila YB menteri menyatakan pasukan memantau baru ditubuhkan pada hari ke-30.

"Kebenaran (ini) mengorbankan rakyat demi untuk menjaga ekonomi majikan kerana tiada majikan dilapor ditangkap dan pekerja (pula) yang jadi mangsa," katanya.