Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19 sebagai orde baru dunia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Di Barat, banyak kupasan yang ditulis mengenai kemungkinan wabak virus Covid-19 sebagai orde baru dunia. Manakala di Timur isu berkenaan kelihatan masih segan-segan untuk dibicarakan secara terbuka.

Hal itu kerana ia dilihat sebagai spekulatif, tidak berasas dan tiada pengukuhan dalil mengenainya.

Namun senario ekonomi dan politik dunia akhir-akhir ini hendaklah diperhalusi dengan mata hati, terutamanya dalam kalangan pemerhati dan penganalisis politik.

Secara amnya orde baru dunia dikatakan konspirasi oleh tangan-tangan ghaib yang menjalankan tugas sebagai pencatur, peramal dan penentu politik antarabangsa.

Selain itu propaganda berkesan oleh media utama dunia seperti CNN dan selain media sosial dilihat memainkan peranan penting untuk membentuk pandangan umum masyarakat dunia.

Propaganda ialah teori yang didoktrinkan oleh seseorang atau sekelompok orang untuk kemudian disebarkan melalui kata-kata, suara, iklan dan sebagainya.

Secara dasarnya kini terdapat pembahagian geopolitik dunia yang agak ketara. Di satu pihak, terdapat suara-suara yang menyalahkan China, malah mahu mengheret Beijing ke arena undang-undang antarabangsa atas kesalahan menyebaran wabak virus Covid-19 yang berasal dari Wuhan di Hubei.

Ada pula negara atau golongan yang pro-China. Mereka mengatakan semua itu adalah propaganda Washington sekutunya seperti Perancis, United Kingdom dan Israel bagi menyalahkan China.

Harga minyak pun jatuh

Mari kita lihat apa yang berlaku dalam dunia perdagangan antarabangsa sekitar 2018 dan 2019. Pada 2018 berlaku krisis perdagangan di antara AS dan China. Antaranya isu kenaikan tarif untuk barangan dari China.

Control Risks - sebuah firma perunding risiko global - dalam artikel tahun 2018 meramalkan isu perang perdagangan AS - China akan memasuki fasa lebih bahaya dan dijangka kedua-dua negara akan saling bertindak balas.

Umumnya pelbagai syarikat China di AS menerima tempias daripada persengketaan perang tersebut malah ada yang hampir muflis.

Pada 2020 bermulalah penularan wabak virus Covid-19 yang dikatakan berasal dari pasar basah Wuhan. Bandar raya itu dikenakan sekatan pergerakan (lockdown) selama beberapa minggu.

Ketika itulah juga kita melihat harga minyak dunia - yang dikuasai negara pengeluar utama dunia seperti AS dan Arab Saudi - jatuh merudum. Jadi, anda fikir adakah ini suatu kebetulan?

Rentetan daripada kes di Wuhan, wabak tersebut kini mengganas di pelbagai negara termasuk AS yang kini mengungguli carta jumlah kes positif dan kematian Covid-19. China pula diisytihar bebas daripada wabak tersebut walaupun ada beberapa kes baru selepas itu.

AS menyalahkan China kerana penularan wabak Covid-19. Sebagai tindak balas Beijing menuduh tentera AS yang datang ke Wuhan sebagai punca virus tersebut merebak.

Kita juga melihat betapa cepatnya China membina hospital bagi merawat pesakit Covid-19 sebelum mereka akhirnya berjaya mengekang wabak tersebut. Setelah itu China dikatakan mempolitikkan diplomasi kesihatan antarabangsa dengan menolong negara lain termasuk Malaysia, Sepanyol malah AS sendiri.

Sesetengah negara meragui keikhlasan China.

Perdana menteri Britain sendiri terkena jangkitan Covid-19. Jumlah kematian dicatatkan beribu-ribu orang sehari yang menyebabkan AS didakwa tidak mampu menguruskan jenazah dengan sempurna.

Hapuskan ribuan nyawa

Begitu juga United Kingdom yang dilihat juga tidak mampu menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi kepada petugas hospitalnya.

Berbalik semula kepada isu propaganda yang disebutkan di atas. Covid-19 - walau zahirnya merupakan isu kesihatan umum - boleh dilihat sebagai satu propaganda yang mahu melihat negara China sebagai penjenayah.

Kita melihat kini negara maju tidak mampu untuk menyelesaikan ancaman wabak tersebut. Jika dikatakan virus Covid-19 itu asalnya buatan AS yang disebar di China, maka senario sebegitu dilihat sebagai senjata makan tuan.

Percaturan geopolitik juga perebutan kuasa dunia kini dilihat lebih melalui keberkesanan peranan propaganda. Antaranya perluasan kuasa secara perdagangan, globalisasi dan neokolonialisme dilihat lebih ampuh berbanding perang menggunakan senjata atau tenaga nuklear.

Kita lihat negara-negara dunia sekarang tidak perlu berperang untuk menjadi kuasa dunia. Cukuplah satu virus berbahaya yang mampu menghapuskan ribuan nyawa manusia.

Selain itu kelumpuhan ekonomi dunia juga terasa akibat tindakan sekatan pergerakan yang dibuat hampir di seluruh dunia, kecuali Sweden.

China kini paling terkehadapan dari segi pemulihan ekonomi, kesihatan umum, pembinaan hospital dan seumpamanya.

Ia juga didakwa membantu Xi Jinping mengukuhkan kedudukannya di tampuk kuasa. Malah wibawa Jinping didakatakan mengatasi Donald Trump yang semakin meluas dimaki hamun rakyatnya.

China sekarang dilihat mengungguli orde baru dunia dan ia memeningkan penganalisis teori konspirasi yang selalu mengetengahkan AS sebagai pemegang taruh.

Norma dunia kini juga telah berubah. Jadi siapakah pemenang Covid-19 ini? Adakah ia satu propaganda yang berjaya, atau plot yang telah tersasar daripada pelan asal, atau memang cuma satu kebetulan?

Lihatlah kepada rentetan peristiwa dunia terutamanya dari segi perdagangan, ekonomi, politik dan sosial sejak 2018 dengan membuat analisis yang terbuka tanpa cenderung kepada mana-mana pihak. Fikir-fikirkanlah.


DR NOOR DZUHAIDAH OSMAN ialah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.