Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Mana pergi bakul makanan untuk kawasan pembangkang?’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mahu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Rina Harun mempercepat pengagihan bakul makanan yang dijanjikan kepada rakyat di kawasan parlimen pembangkang yang masih belum menerimanya.

“Memasuki fasa ketiga dan minggu keempat perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, 1,000 bakul makanan yang dijanjikan oleh kerajaan untuk diagihkan kepada rakyat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke kawasan parlimen tidak berjalan seperti yang diharapkan.

“Sehingga kenyataan ini ditulis, terdapat sekurang-kurangnya 54 kawasan parlimen pembangkang yang masih belum menerima sebarang bantuan tersebut,” kata Yeoh.

Beliau turut menyenaraikan kawasan-kawasan berkenaan. Menurut senarai itu, Segambut telah menerima 250 daripada 1,000 bakul yang dijanjikan itu.

Yeoh yang pernah menjadi timbalan menteri KPWKM semasa pentadbiran Pakatan Harapan mengingatkan kepada Rina bahawa kelewatan pengagihan bakul makanan itu akan menjejaskan kumpulan B40.

“Kelewatan pengagihan bakul makanan ke kawasan Parlimen pihak pembangkang akan memberi kesan kepada keluarga kumpulan B40 terutama apabila kita kini memasuki minggu keempat PKP dan menteri KPWKM perlu bersedia untuk mengurus bantuan ini secara lebih adil andai PKP ini bersambung ke fasa yang seterusnya.”

Senarai itu juga memaparkan bahawa satu-satunya kawasan pembangkang yang menerima semua kuota bakul makanannya iaitu berjumlah 1,000 adalah di Langkawi yang diwakili oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kangar pula menerima 900 bakul sedangkan kawasan parlimen yang dikuasai pembangkang dengan jumlah penduduk yang lebih ramai tidak menerima sebarang bantuan.

“Menteri KPWKM juga digesa untuk segera memperbaiki sistem pengagihan bakul makanan ini tanpa melakukan pemberian terpilih dan tidak mengambil kesempatan di atas kerja keras warga JKM serta menjadikan mereka dalam keadaan serba salah sedangkan rakyat dalam kesusahan dalam tempoh PKP ini,” katanya.

Minggu lalu ahli parlimen Kulai Teo Nie Ching mendakwa seorang anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat memberitahunya bahawa pengagihan makanan di kawasan pembangkang akan diselaraskan oleh Presiden MCA Wee Ka Siong.

Tuduhan itu ditolak oleh Wee dan juga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat yang melabelnya sebagai berita palsu.