Wuhan semak semula angka kematian, catat kenaikan 50 peratus
KORONAVIRUS l Bandar Wuhan di China menaikkan angka kematian akibat koronavirus sebanyak 50 peratus pada Jumaat menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,869 orang, lapor TV kelolaan kerajaan.
Ini sekali gus mengesahkan ketakutan penduduk dan keraguan antarabangsa dengan cara China menangani pandemik itu yang menunjukkan titik awal pandemik global berkenaan jauh lebih buruk daripada yang dilaporkan oleh Beijing sebelum ini.
Semakan itu menyaksikan tambahan 1,290 mangsa berbanding jumlah 2,579 yang dicatakan sebelum ini. Menurut stesen CCTV, kematian tambahan berkenaan membabitkan data kes yang ‘dilaporkan secara salah’ atau yang ‘hilang sepenuhnya’.
Semakan itu dibuat susulan spekulasi yang meluas bahawa jumlah kematian di Wuhan adalah jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan. Khabar angin itu didorong oleh gambar barisan panjang anggota keluarga yang menunggu untuk mengumpul abu mayat mangsa.
"Pada tahap awal, kerana kapasiti hospital yang terbatas dan kekurangan staf perubatan, beberapa institusi perubatan gagal berhubungan dengan sistem kawalan dan pencegahan penyakit tempatan tepat pada waktunya, ini mengakibatkan penangguhan laporan kes yang disahkan dan kegagalan menghitung pesakit dengan tepat," lapor stesen penyiar negara CGTN yang memetik seorang pegawai Wuhan yang tidak dikenali.
Kecurigaan bahawa China tidak telus dalam melaporkan mengenai wabak itu meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini, dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu lau menyatakan kecurigaannya tentang jumlah kematian di negara itu yang sebelumnya diisytiharkan sekitar 3,000 orang.
"Kamu benar-benar percaya jumlah negara yang luas yang disebut China ini dan mereka mempunyai sejumlah kes dan sejumlah kematian; adakah kamu benar-benar mempercayainya? " katanya.
Namun, sebilangan pakar berpendapat jumlah kematian di kebanyakan negara lain juga sebenarnya tidak tepat kerana ada mangsa Covid-19 yang meninggal dunia tidak menjalani ujian saringan atau mendapatkan rawatan di hospital.
Jumlah kes di Wuhan, sebuah kota dengan 11 juta orang, disemak semula dengan tambahan 325, menjadikan jumlah keseluruhan menjadi 50,333 atau sekitar 60 peratus dari keseluruhan China.
Doktor dan pegawai kerajaan di Wuhan berulang kali disoal mengenai ketepatan jumlah kematian oleh wartawan dalam lawatan yang diatur oleh kerajaan.
Sebilangan pegawai tersebut mengakui bahawa mungkin ada indovidu yang telah mati tanpa dihitung pada hari-hari awal wabak itu merebak, sebelum ujian dilakukan secara meluas.
"Tidak mungkin ramai kerana tempoh waktu itu adalah sangat singkat," kata Wang Xinghuan, ketua salah satu daripada dua hospital sementara yang didirikan kepada wartawan di Wuhan pada 12 April. Dia berkata dirinya bukan bercakap bagi pihak kerajaan China.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai