Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Kes baru 69, angka terendah sejak PKP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysia kembali menunjukkan perkembangan positif apabila kes positif harian Covid-19 hari ini mencatatkan angka terendah iaitu 69 kes, berbanding tiga angka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Malah, jumlah kes pulih harian adalah 201 kes, hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kes baharu yang direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan 201 kes pulih, ia menjadikan jumlah kumulatif terkini kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan didiscaj daripada wad adalah sebanyak 2,967 kes atau 56.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jelas beliau, dengan mengambil kira pesakit yang sudah pulih, maka kes aktif yang sedang dirawat ketika ini adalah 2,198 kes.

"Sehingga kini 51 kes postif Covid-19 sedang di rawat Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 26 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," kata Noor Hisham pada sidang akhbar harian Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Dua lagi kes kematian turut dilaporkan setakat tengah hari tadi, menjadikan jumlah korban akibat wabak itu di Malaysia sebanyak 86 kes, 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian ke-85 melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun (Kes 5,064) dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (Kes 4,657) berkaitan dengan kluster PUI Bali.

Mangsa juga sebelum ini dirawat di pusat perubatan swasta kerana menghidap barah darah sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan pada 15 April dan meninggal dunia pada jam 3.30 petang semalam.

Sementara itu, kematian ke 86 pula (Kes 5,183) ialah lelaki wara negara Malaysia dengan sejarah penyakit lain. 

Mangsa pernah ada kontak rapat dengan pesakit Kes 2,321 dan di rawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 1 April dan meninggal dunia pada jam 8.56 malam tadi.