Skip to main
Logo Malaysiakini

Selepas jadi kluster baru, berita palsu tambah kebimbangan di Sendayan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kemunculan kluster baru wabak Covid-19 di Sendayan, Negeri Sembilan awal minggu ini turut membawa sejumlah berita palsu di media sosial, kata pemimpin masyarakat di sana.

Bercakap dengan Malaysiakini semalam, mereka berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu telah mencetuskan panik kebimbangan yang tidak sepatutnya di kalangan penduduk.

Menurut seorang pemimpin agama di Bandar Sri Sendayan dengan pengerusi persatuan penduduk, kumpulan Whatsapp di kalangan penduduk dipenuhi dengan mesej yang tidak disahkan, sejak seorang tokoh masyarakat di kawasan itu meninggal dunia akibat Covid-19 pada 12 April lalu.

"Ia mengejutkan kami, terutama apabila Sendayan jadi zon merah pada Isnin apabila bilangan kes tiba-tiba meningkat dari kosong kepada 40.

"Tetapi bukan itu saja. Keadaan bertukar panik apabila mesej-mesej palsu mula membanjiri media sosial, terutama melalui mesej Whatsapp yang disebarkan," kata anggota jawatankuasa Masjid Syeikh Ahmad, Arriz Tassri Abu Bakar.

Kematian pertama akibat Covid-19 di kawasan itu melibatkan lelaki berusia 54 tahun yang merupakan pemimpin sebuah kumpulan yang aktif dalam kegiatan perniagaan dan keagamaan di kawasan itu.

Beliau dilaporkan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban pada 11 April dan meninggal dunia pada pagi keesokannya. Mangsa turut mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Kementerian Kesihatan (KKM) kemudian memulakan pengesanan kontak di sana, yang kemudiannya mendapati 39 orang lagi - termasuk 11 anggota keluarga lelaki itu - telah dijangkiti wabak tersebut.

KKM kemudian memulakan ujian saringan massa selama dua hari di sana melibatkan 300 anggota kumpulan itu.

Setakat tengah hari semalam, sejumlah 76 kes positif dikesan berkaitan kluster itu.

Arriz berkata, ujian saringan massa setakat ini bertumpu kepada anggota kumpulan itu, tetapi ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan dakwaan bahawa KKM telah membuat ujian itu kepada 8,000 di sana.

Beliau menunjukkan beberapa mesej itu kepada Malaysiakini, termasuk berkenaan perincian "senarai" kejiranan yang telah ada kes jangkitan.

"Ini antara berita palsu yang telah disebar secara meluas di Bandar Sri Sendayan. Inilah yang menyebabkan orang panik.

"Kumpulan Whatsapp telah dibanjiri pesanan teks daripada mereka yang bimbang dengan keselamatan mereka," katanya.

Penduduk diminta rujuk maklumat sah

Kebimbangan yang semakin meningkat di kalangan penduduk Bandar Sri Sendayan, dianggarkan berjumlah 30,000 orang, telah menyebabkan pemimpin setempat, persatuan penduduk dan juga masjid memulakan inisiatif sendiri untuk memperbaiki keadaan.

Menurut Arriz, mereka menggunakan kumpulan Whatsapp dan Telegram masjid untuk menyebarkan mesej bagi meminta orang ramai tidak mempercayai maklumat tidak sah yang diterima.

"Kami juga memberitahu mereka agar tidak menyebarkan maklumat itu, sehinggalah kementerian memberikan pengesahan terhadap apa yang berlaku."

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Nusari Bayu 1 Mond Zin Mustapa, berkata mereka juga mengambil langkah sama bagi meredakan kebimbangan penduduk.

"Ada mesej yang mengatakan ujian saringan massa akan diadakan, memandangkan penduduk bimbang telah dijangkiti virus.

"Orang mula menjadi panik apabila baca hal-hal seperti ini. Tetapi saya sering beritahu penduduk bahawa kita tak perlu bimbang.

"Saya kata 'tunggu di depan televisyen, tunggu pengumuman ketua pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah)'. Akan ada maklumat yang tepat, dan jangan dengar semua khabar angin ini," katanya lagi.

Sementara itu, berita palsu turut memberi kesan kepada kumpulan tersebut, yang kini bergelut untuk menghadapi kematian ketua mereka serta ramai anggota yang telah dijangkiti Covid-19.

Seorang anggota kumpulan itu Miqdam Bakhtiar menyarakan kekecewaannya.

"Saya baca di Facebook bahawa kumpulan kami dituduh mengadakan tahlil selepas ketua meninggal dunia akibat virus.

"Ini tidak benar. Kami tidak anjur sebarang tahlil selepas pemergiannya. Tetapi kerana berita palsu, orang ramai fikir kami buat (tahlil)," katanya.

Miqdam yang kini sedang dalam kuarantin berkata lagi, anggota kumpulan sendiri terkejut apabila mendapat tahu ketua mereka mati akibat Covid-19.

Katanya, mangsa diketahui mempunyai masalah kesihatan sudah agak lama, menyebabkan beliau berada di rumah pada kebanyakan masa.

Mangsa dibawa ke hospital pada Sabtu lalu apabila sudah agak tenat, katanya.

Katanya lagi, mereka juga tertanya-tanya dari mana mangsa mendapat virus tersebut.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.