Skip to main
Logo Malaysiakini

8 PBT di Johor akan pulangkan wang pendahuluan peniaga bazar Ramadan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor akan memulangkan wang pendahuluan bazar Ramadan tahun ini yang berjumlah RM855,695 dalam masa terdekat kepada 3,064 peniaga.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Ayub Jamil berkata, bagaimanapun lapan PBT lain tidak berbuat demikian kerana belum menerima apa-apa bayaran pendahuluan daripada peniaga.

Beliau berkata pemulangan wang pendahuluan itu dilakukan berikutan mesyuarat mingguan exco Johor minggu lalu yang memutuskan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan dan apa jua kaedah perniagaan berkaitan bazar di negeri itu.

"Tindakan ini selaras dengan ketetapan kerajaan pusat untuk tidak membenarkan sebarang bentuk perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan, termasuk dalam bentuk pandu lalu, sepanjang tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebagai langkah berjaga-jaga susulan kebimbangan penularan Covid-19,” menurutnya menerusi kenyataan hari ini.

Ayub Jamil

Bagaimanapun, Ayub berkata kerajaan negeri bersetuju membantu mempromosi dan memasarkan produk peniaga bazar terbabit untuk berniaga secara dalam talian melalui dua syarikat pengendali platform yang dilantik.

Beliau berkata ia merupakan gerakan awal atau langkah permulaan kerajaan negeri untuk membantu semua peniaga kecil yang terlibat secara aktif dalam ekonomi digital.

Katanya mereka yang ingin mempromosi atau memasarkan produk masing-masing perlu melalui saringan dan tapisan PBT terlebih dahulu, terutama membabitkan kesihatan dan kebersihan premis penyediaan produk makanan.

Menurut Ayub, secara keseluruhan Johor memiliki 220 lokasi bazar Ramadan membabitkan sejumlah 12,000 peniaga yang berdaftar dengan PBT.

“Berdasarkan rekod lalu, Bazar Ramadan di negeri itu mencatatkan nilai jualan melebihi RM200 juta. Bazar Ramadan menjadi saluran amat diminati semua pihak sama ada yang telah lama berniaga atau mereka yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan.

"Tentunya tahun ini kita semua bakal merindui kemeriahan bazar Ramadan sepertimana rindunya kita pada solat tarawih, solat hari raya di masjid dan surau-surau juga aktiviti marhaban dari rumah ke rumah seperti suasana yang pernah kita temui dan lalui sebelum ini," katanya.

Beliau berkata realitinya seluruh dunia terlibat dengan cabaran pandemik Covid-19, sehubungan itu, semua pihak tidak boleh berasa selesa, leka atau mengambil mudah usaha negara dalam mendepani pandemik itu di fasa ketiga PKP.

-Bernama