Skip to main
Logo Malaysiakini

Yayasan Kuok sumbang RM200k pada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) menerima sumbangan kewangan berjumlah RM200,000 daripada Yayasan Kuok, Isnin lepas, bagi membantu golongan yang terputus pendapatan akibat penularan Covid-19.

Menerusi hantaran dan beberapa gambar yang dimuat naik dalam laman Facebook The Royal Johor, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah sumbangan itu akan digunakan bagi menyalurkan bantuan barangan runcit kepada keluarga berpendapatan rendah dan pekerja asing.

“Mereka terkesan ini adalah golongan yang bergantung kepada gaji harian, termasuk pekerja asing. Kita perlu turut membantu mereka tanpa diabaikan,” titah baginda menerusi Royal Press Office, seperti yang dimuat naik dalam hantaran berkenaan.

Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan rasa syukur kepada Bulan Sabit Merah Malaysia dan Kerajaan Negeri Johor yang sudi membantu YRZSNJ untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Malah, dengan sumbangan ikhlas daripada Yayasan Kuok, kita juga dapat menyalurkan lebih banyak bantuan barangan makanan asas kepada keluarga berpendapatan rendah serta pekerja asing,” titah baginda.

Menurut hantaran itu lagi, YRZSNJ telah menyalurkan bantuan kepada golongan sasaran termasuk kanak-kanak yang menerima barangan mainan serta buku aktiviti bagi menceriakan mereka sewaktu di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

- Bernama