Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jangan salah erti penurunan kes, perjuangan belum selesai'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai agar tidak salah erti dengan penurunan jumlah jangkitan Covid-19 kebelakangan ini.

Sebaliknya, beliau mengingatkan orang ramai bahawa perjuangan melawan Covid-19 belum selesai.

"KKM khuatir sekiranya penurunan jumlah kes beberapa hari ini disalah erti serta membuatkan masyarakat alpa lalu mengambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana memikirkan bahawa wabak ini hampir selesai.

"Perjuangan kita belum selesai," katanya dalam sidang media harian hari ini.

Malaysia mencatatkan 54 kes baru hari ini, yang merupakan kali ketiga kes harian dalam minggu ini berada di bawah paras 100 kes.

Jumlah pesakit pulih juga pada tahap yang memberangsangkan, iaitu pada kadar 58.5 peratus, atau 3,102 kes termasuk 135 hari ini.

Walaupun ia perkembangan yang baik, Noor Hisham menegaskan bahawa orang ramai perlu terus dengan PKP.

Dalam sidang media itu, mengulas sama ada PKP akan dilanjutkan atau tidak, Noor Hisham berkata ia perlu berdasarkan sains dan fakta.

Jelasnya, sekiranya PKP berakhir pada 28 April ini seperti dijadualkan, kehidupan harian tidak kembali seperti biasa dan peraturan kesihatan tertentu akan diperkenalkan.

Ketika ditanya tentang kemungkinan PKP akan dilanjutkan sehingga Mei, Noor Hisham berkata Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) memutuskan berhubung darurat kesihatan awam berdasarkan tiga faktor iaitu kadar kematian, kadar kebolehjangkitan dan kesan ekonomi.

"Jadi sekarang di negara ini, kita juga membuat keputusan berdasarkan tiga faktor ini," katanya.

Tambahnya, angka kematian di negara ini masih rendah berbanding negara lain.

Jelasnya, kadar kes aktif di negara ini ialah 2,115 kes.

"Dari 2,115 kes tersebut, mereka berpotensi menjangkiti orang lain, sementara mereka yang discaj dan negatif tidak akan menjangkiti orang lain.

“Itulah sebabnya dari 2,115 kes tersebut, kami merawat mereka kerana ada kemungkinan mereka akan menjangkiti orang lain," katanya.

Sementara berdasarkan kesan ekonomi, kata Noor Hisham, KKM sedang melihat kemungkinan memberi kebenaran pembukaan kembali sektor lain secara berperingkat.

Bagaimanapun, Noor Hisham menegaskan bahawa keutamaan ketika ini adalah agar semua pihak mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan seperti tidak mengadakan perhimpunan awam dan menjaga jarak sosial.